Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Sebuah motosikal meletup dan terbakar selepas terbabit kemalangan dengan motosikal lain di susur masuk Jalan Lendu, di persimpangan lampu isyarat Rembia, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.20 pagi itu, penunggang motosikal Yamaha RXS, Tong Yew Wee, 60, dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh ke tempat kerjanya di Lendu Dalam.

Difahamkan, setibanya di tempat kejadian, sebuah motosikal Yamaha Cub ditunggang lelaki warga emas berusia 62 tahun dari pekan Rembia melawan arus menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

Pertembungan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan ringan di badan.

Pada masa sama, motosikal Yamaha RXS ditunggang Wee yang tercampak di laluan tengah tiba-tiba meletup dan terbakar.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 3:08 PM