Bot mangsa ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di posisi 7.6 batu nautika utara Pulau Gaya, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN APMM
Bot mangsa ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di posisi 7.6 batu nautika utara Pulau Gaya, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN APMM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika menangkap ikan di perairan Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Mangsa Omar Ajid, 40, dikatakan keluar rumah kira-kira 5 pagi dengan memakai baju lengan panjang merah dan seluar bercorak celoreng hijau.

Bagaimanapun, bot mangsa ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan enjin masih hidup di kedudukan 7.6 batu nautika utara Pulau Gaya pada 10 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada isteri mangsa melalui panggilan telefon pada waktu tengah hari.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi Carilamat kira-kira 2 petang tadi.

"Agensi penyelamat di laut serta pasukan lain dihubungi bagi membantu usaha pencarian mangsa. Sehingga kini, masih tiada sebarang penemuan atau petunjuk," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, usaha pencarian masih giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:18 PM