DIET sihat mampu menurunkan berat badan.
DIET sihat mampu menurunkan berat badan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Berat badan ideal menjadi dambaan setiap individu terutama bagi memastikan penampilan sentiasa kelihatan cantik dan pada masa sama kesihatan diri juga dalam keadaan baik.

Mendapatkan berat badan yang sesuai mengikut aras ketinggian pada hakikatnya bukanlah sesuatu yang sukar dicapai, namun ia sememangnya memerlukan keazaman serta disiplin diri.

Pengambilan makanan harian antara perkara paling utama yang bakal menentukan saiz serta berat badan anda sama ada mencapai berat ideal atau sebaliknya.

Mengamalkan pola pemakanan yang baik serta gaya hidup sihat menjadikan impian memiliki berat badan ideal mampu dicapai.

Ikuti enam langkah mudah yang dapat membantu anda untuk mendapatkan berat badan ideal namun perlu diingat, segalanya memerlukan kekuatan disiplin diri:

1. Mulakan sekarang juga dan jangan berlengah.

Menurunkan berat badan tidak sekadar cukup dengan bermodalkan niat. Anda perlu tekad melakukannya selain memastikan diri mengikut segala perancangan terutama dari segi pemakanan harian anda.

2. Letakkan sasaran yang masuk akal

Tetapkan sasaran yang mampu dicapai dan bukannya di luar kemampuan diri. Penurunan berat badan 0.5 kilogram bagi setiap minggu dianggap jumlah yang ideal dan tidak keterlaluan. Malah, anda juga tidak berasa tertekan untuk mencapai sasaran.

Keupayaan seseorang individu berbeza antara satu sama lain. Sesetengah orang yang mempunyai perancangan teratur dan tekad yang tinggi mungkin boleh mencapai penurunan yang lebih banyak berbanding setengah kilogram dalam tempoh seminggu.

Jika anda tahu keupayaan diri sendiri, lebih baik turutkan kemampuan diri.

3. Tidak perlu terlalu memaksa

Jangan memaksa diri dengan langsung tidak mengambil makanan wajib seharian. Ramai yang mungkin menyarankan supaya anda menghadkan itu dan ini, tetapi sebaiknya dapatkan ilmu mengenai pemakanan.

Ketahui jumlah kalori yang perlu diambil setiap hari, begitu juga jumlah kalori yang perlu anda bakar supaya ia memudahkan lagi proses penurunan berat badan anda.

Sekiranya anda langsung tidak mengambil makanan penting, ia bukanlah dapat membantu anda menurunkan berat badan. Hakikatnya ia lebih membuatkan anda berasa terlalu lapar dan seterusnya mengambil jumlah makanan dalam kuantiti yang banyak.

Apabila mengambil makanan lebih daripada had sewajarnya, tentu sekali kalori juga bertambah.

4. Percepatkan makan pagi

Jangan meninggalkan pengambilan sarapan kerana ia ternyata membantu anda menurunkan kalori dengan lebih cepat. Sekiranya anda meninggalkan sarapan, bimbang anda pula akan terlebih makan menjelang tengah hari kerana terlalu lapar.

5. Perbanyakkan minum air kosong

Kurang minum menyebabkan berlakunya banyak masalah kesihatan lain dan mengganggu proses menurunkan berat badan. Anda perlu minum air kosong dengan banyak bagi memudahkan proses penurunan berat badan.

6. Senaman walaupun ringkas

Senaman amat memainkan peranan penting dalam proses menurunkan berat badan. Senaman yang dilakukan secara sistematik menyebabkan proses mengeluarkan peluh dan pembakaran kalori berjalan dengan cepat sekali gus membantu mendapatkan berat badan ideal.

Amalkan senaman tiga kali seminggu tetapi bukannya 10 minit setiap kali bersenam. Sekurang-kurangnya, lakukan 45 minit senaman sebanyak tiga kali seminggu. Bagi yang tidak biasa, ia mungkin kelihatan membebankan tetapi percayalah, alah bisa tegal biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:01 AM