SPIDER-MAN menghampiri seorang lelaki tidak berumah di Birmingham untuk menyerahkan bantuan makanan.
SPIDER-MAN menghampiri seorang lelaki tidak berumah di Birmingham untuk menyerahkan bantuan makanan.

Birmingham: Adi wira Spider-Man memang terkenal dengan kuasa sesawangnya untuk membanteras dan menangkap penjenayah.

Namun, apa berlaku di Birmingham lebih mengejutkan.

Di luar layar perak dan tanpa mainan kamera, seorang ‘Spider-Man’ muncul untuk mengagih-agihkan makanan serta minuman kepada golongan gelandangan pada waktu malam.

Dia yang ditemubual stesen penyiaran BBC berkata, amalan itu dilakukan sejak tiga atau empat tahun lalu.

Katanya, dia suka melihat senyuman di wajah mereka setiap kali bantuan dihulurkan.

“Kemudian saya terfikir, tentu senyuman itu lebih manis jika bantuan berkenaan diberikan oleh Spider-Man,” katanya.

Lelaki terbabit kemudian mula keluar pada waktu malam dengan berpakaian seperti watak rekaan Stan Lee itu.

Untuk memudahkan dia mengemas kini aktivitinya, ‘Spider-Man’ berkenaan membuka akaun Twitter menggunakan nama @brumspiderman.

Ternyata dia begitu terkenal di Birmingham kerana jumlah pengikut di Twitter semakin meningkat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:07 AM