Susunan Hazril Md Nor

Spider-Man adalah permainan terbaru daripada Insomniac Games dan ia menampilkan Peter Parker sebagai teraju utama permainan ini. Walaupun permainan bertemakan Spider-Man sentiasa cuba meneroka sisi hidup Peter, versi kali ini adalah yang paling sempurna.

Pertama, ia menunjukkan sisi hidup Peter Parker yang bekerja sebagai ahli sains. Kita belum lagi dapat melihat sepenuhnya bagaimana plot ini dimainkan dan kesannya kepada keseluruhan cerita. Pastinya menarik!

Kedua, Spider-Man ini memperkenalkan sistem hayunan sarang (web swinging) yang lebih sempurna dan lengkap. Setiap sarang yang ditembak ke arah bangunan menentukan kelajuan karakter anda di udara. Selepas itu, kelajuan ini boleh dipertingkatkan lagi dengan menekan butang tertentu untuk menggandakan pergerakan di udara.

Ketiganya, kombat yang dipertunjukkan dalam iklan acah dan ‘trailer’ sangat memuaskan hati peminat. Walaupun ia mempunyai persamaan agak ketara dengan Batman Arkham, tapi ia unik dengan bermodalkan Spider-Man itu sendiri. Setiap serangan bercirikan akrobatik dan Spider-Man mempunyai beberapa teknik serangan mengikut kostum yang digunakan dan kuasa terbaru boleh digunakan apabila anda mencapai peringkat tertentu.

Keempat, terdapat banyak misi sampingan boleh dilakukan sama seperti dalam permainan Prototype dan Infamous: Second Son. Misi ini mungkin agak berulang tapi ia memberikan pengalaman menjadi seorang adiwira yang bertanggungjawab untuk membanteras jenayah di bandar raya New York.

Ada banyak lagi pembaharuan yang diperkenalkan dalam permainan ini. Antaranya ialah kepelbagaian set kuasa, kostum versi komik yang boleh didapatkan dan juga penjahat yang pernah membuat kemunculan dalam filem dan komik.

Permainan video ini akan tiba ke PlayStation 4 secara eksklusif esok (Jumaat) jadi pastikan anda mendapatkannya di pengedar PlayStation rasmi jika Spider-Man adalah ikon adiwira yang anda minati selama ini. Pastinya anda tidak mahu melepaskan peluang!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 1:01 PM