Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Lans Koperal Zakiah Alip, 26, yang dibebaskan hari ini selepas diculik pengganas dari selatan Filipina hampir lapan bulan lalu akan ditukarkan ke unit lain.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan berhubung dengan Pesuruhjaya Polis Sabah untuk membincangkan mengenai hal itu sebelum memutuskan unit yang paling sesuai untuk menempatkannya.

Katanya, selain itu, Zakiah akan menjalani rawatan psikologi oleh pakar psikologi untuk menentukan keadaan emosinya sebelum boleh kembali bertugas.

"Dia(Zakiah) sudah pasti berada dalam keadaan trauma dan sebarang keputusan kerjayanya akan ditentukan berdasarkan nasihat pakar psikologi.

"Bila dia akan mula bertugas dan unit mana akan ditempatkannya akan diputuskan kemudian," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan pada Konvensyen UMNO Perak petang tadi.

Menurutnya, apa yang terjadi kepada Zakiah seharusnya dijadikan iktibar oleh anggota polis supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan tugas mereka yang amat berisiko.

"Anggota polis perlu ingat yang 'jerat tidak akan lupakan pelanduk' dan justeru itu mereka haruslah berhati-hati dan bersedia pada setiap masa.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang bertungkus lumus berusaha dalam membebaskan Zakiah," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Kita Lawan, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa kerana dapat mengawal keadaan tanpa sebarang kekecohan.

Katanya, walaupun peserta perhimpunan cuba mencetuskan provokasi namun anggota bertugas dapat mengawal emosi menyebabkan keadaan terkawal.

"Saya menasihatkan pihak pembangkang yang cuba mengadakan perhimpunan seperti ini kembali melihat undang-undang dan tidak melakukan perkara di luar batasan," katanya.

Tamat///16

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 8:46 PM