GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


CADANGAN Mekanisme Baharu Bayaran Balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum sesuai untuk dilaksanakan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah bayaran balik berbanding jumlah pinjaman yang belum berbayar serta situasi ekonomi serta kedudukan kewangan semasa.

Sebaliknya, beliau berkata, kaedah Potongan Gaji Berjadual (PGB) mengikut kadar ansuran bulanan sedia ada dikenal pasti sebagai kaedah lebih sesuai untuk dilaksanakan.

"Ia bagi memastikan proses kutipan bayaran balik PTPTN yang lebih mudah dan cekap.

"Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa mengenal pasti pendekatan terbaik bagi bayaran balik pinjaman yang tidak membebankan peminjam, pada masa sama kepentingan PTPTN terpelihara," katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu).

Terdahulu, Jalaluddin ingin mengetahui hasil dapatan dikeluarkan jawatankuasa yang ditubuhkan bagimengkaji modul baru untuk pelaksanaan PTPTN.

Noraini berkata, cadangan mekanisme baharu itu diperoleh hasil pelaksanaan konsultansi rakyat yang diadakan antara 16 Mei hingga 13 Jun tahun lalu.

Katanya, Panel Penasihat Khas memberikan nasihat dan membentangkan syor kepada Lembaga Pengurusan PTPTN mengenai penambahbaikan mekanisme bayaran balik pinjaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 10:44 AM