Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kemungkinan ada kejutan berlaku apabila seorang lagi bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selain Tan Sri Annuar Musa turut akan dicalonkan bagi merebut kerusi tertinggi oleh ahli gabungan badan induk bola sepak tanah air itu sebelum tarikh akhir pencalonan hari ini.

Selain pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat dan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Annuar, nama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) turut dikaitkan dengan kerusi panas itu.

Menurut sumber rapat FAM, ada ahli gabungan berminat untuk mencalonkan Khairy bertanding jawatan presiden pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan namun semuanya akan diketahui apabila tempoh pencalonan berakhir petang ini.

“Saya difahamkan ada negeri (Persatuan Bolasepak Negeri) yang berminat untuk mencalonkan Khairy Jamaluddin bagi jawatan presiden jadi kita kena tunggu hingga tarikh tutup sama ada hasrat itu diteruskan atau tidak.

“Sesiapa saja boleh bertanding asalkan mendapat pencalonan daripada ahli gabungan cuma masalah di sini KJ (Khairy Jamaluddin) sekarang memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, mungkin tidak sesuai. Memang bagus jika seorang menteri mengambil berat dalam bola sepak tapi untuk menjadi presiden bakal memberi persepsi tak baik kepada sukan lain,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Khairy bukan asing dalam FAM apabila pernah memegang jawatan Timbalan Presiden pada 2007 namun tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan 2010.

Bagaimanapun andai Khairy mendapat pencalonan dan berminat untuk merebut jawatan pada kongres pemilihan kali ini, beliau perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Sumber itu turut memaklumkan, Aseh yang mendapat sokongan Tunku Ismail dijangka tidak ada masalah menerima pencalonan biarpun belum mengumumkan pendiriannya secara rasmi hingga kini.

“Nama Tan Sri Aseh ini sudah dibangkitkan dua bulan lalu, kalau beliau tak mahu, beliau sudah lama menolak cadangan Tunku Ismail sebelum ini. Mungkin beliau mahu melihat banyak mana sokongan yang diterima sebelum membuat sebarang kenyataan tapi andai Tunku Ismail mahu bertanding, Tan Sri Aseh pasti akan menarik diri,” katanya.

Jawatan nombor satu FAM itu kini menjadi rebutan berikutan penyandang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 11:05 AM