PONTIAN: Kerajaan negeri Johor mencadangkan pemansuhan caj permohonan Visa Sewaktu Ketibaan (VOA) bagi pelancong dari China di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

Exco Pelancongan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata cadangan pemansuhan caj permohonan sebanyak US$100 (RM360) itu adalah selari dengan keputusan kerajaan pusat mengecualikan bayaran permohonan visa untuk pelancong China.

"Pemansuhan caj ini dapat menggalakkan lebih banyak pelancong terutama dari negara itu untuk menjadikan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan," katanya kepada pemberita pasa majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

Tee berkata sejak VOA diperkenalkan pada 1 Nov tahun lepas, sebanyak 65 peratus daripada 500 pelancong yang menggunakan kemudahan itu di Laluan Kedua Malaysia-Singapura adalah rakyat China.

Bulan lalu, kerajaan pusat memutuskan pengecualian bayaran bagi permohonan visa sebanyak RMB80 (RM47) untuk rakyat China yang mahu melancong ke negara ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 6:53 PM