Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan 21 warga Mesir di Libya baru-baru ini oleh kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan Kumpulan Militan Negara Islam (IS).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pembunuhan orang awam itu suatu tindakan yang tidak dapat diterima.

"Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan simpati serta takziah kepada kerajaan Mesir serta keluarga mangsa.

"Semoga mereka memperoleh kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat getir ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Anifah berkata, kerajaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Mesir serta masyarakat antarabangsa dalam memerangi sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan IS mengeluarkan satu klip video menunjukkan kononnya mereka memenggal kepala 21 rakyat Mesir beragama Kristian, sehingga memaksa presiden negara itu mengancam mengenakan hukuman setimpal terhadap pembunuh terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 10:02 AM