Kota Bharu: Malindo Air memperkukuhkan operasinya di laluan domestik apabila memperkenalkan tiga laluan baru kepada pengguna iaitu Ipoh-Kota Bharu, Johor Bharu-Kertih, Terengganu dan Johor Bharu-Kuantan, Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, semua laluan baru itu bermula Sabtu lalu dan pelanggan boleh mula membuat tempahan dengan harga serendah RM79 untuk perjalanan sehala.

“Mulai 14 Februari dan seterusnya, Malindo Air akan membuat penerbangan dari Ipoh ke Kota Bharu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

“Laluan dari Johor Bharu ke Kertih, Terengganu pula setiap hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu. Manakala laluan Johor Bharu ke Kuantan adalah setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Tempahan tiket kini dibuka dengan harga yang berpatutan bermula dari RM79 sehala termasuk bagasi dan sajian ringan yang dihidang secara percuma,” katanya pada majlis pelancaran laluan baru itu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, Mohd Zamri Ibrahim dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia cawangan Kelantan Kamal Azam Kamaruddin.

Chandran berkata, pembukaan laluan baru itu juga adalah selaras misi syarikat yang mahu memberikan perkhidmatan meluas kepada pelanggan dan menjadi penghubung antara bandar.

“Ia juga membuktikan komitmen kami dalam menyediakan sambungan perkhidmatan penerbangan yang sempurna dalam usaha mempertingkatkan kemudahan kepada pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 7:37 AM