Sepang: Malindo Air akan memperkenalkan laluan ke Perth, Australia menjelang November depan menjadikannya sebagai negara destinasi kelapan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, buat masa ini syarikat penerbangan berkenaan menunggu kelulusan pihak berkuasa Australia yang dijangka dapat dimuktamadkan awal Oktober depan.

“Laluan baru ini membuktikan operasi Malindo Air mampu berkembang dengan baik atas sokongan penumpang dan ia selaras dengan penambahan pesawat yang diterima secara berperingkat-peringkat,” katanya selepas pelancaran Malindo Air Executive Lounge oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Menurutnya, pihaknya menambah lapan pesawat generasi baru Boeing 737 dengan empat daripadanya sudah diterima.

“Kami menunggu penghantaran empat pesawat lagi yang akan selesai sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Sehingga Ogos lalu, Malindo Air beroperasi menggunakan 11 pesawat jenis ATR72-600 dan 12 Boeing 737NG. Pesawat Boeing 737NG mampu mengendalikan laluan dengan jarak perjalanan sehingga lima jam.

Menurutnya, selain laluan ke Perth, pihaknya akan memperkenalkan laluan ke China selain menambah kekerapan ke laluan sedia ada.

Dalam pada itu, Executive Lounge kelolaan Malindo Air adalah yang pertama ditawarkan syarikat penerbangan di terminal Klia2.

Ia ditawarkan percuma kepada penumpang kelas Perniagaan, pemegang kad Malindo Miles Platinum dan Malindo Corporate Gold. Untuk penumpang kelas Ekonomi, bayaran RM65 dikenakan bagi dewasa dan RM30 (kanak-kanak) untuk akses tiga jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:34 AM