PADZILAH bersama tetamu majlis.
PADZILAH bersama tetamu majlis.

Pengeluar telekung jenama eksklusif, Siti Khadijah Apparel (SK), baru-baru ini meraikan pembukaan butik terbarunya di Bangi Sentral, Bangi, Selangor.

Pada pelancaran itu, pengasas Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Padzilah Enda Sulaiman turut mengambil kesempatan memperkenalkan kolej seni jahitan Srikandi yang ditubuhkan di bawah jenama SK.

Srikandi diasaskan berdasarkan keinginan Padzilah untuk membangunkan anak bangsa supaya dapat menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran di bawah tunjuk ajar tenaga terlatih dalam bidang jahitan pakaian.

SK ditubuhkan sejak enam tahun lalu atas dasar memenuhi tuntutan keselesaan wanita dalam urusan beribadat iaitu solat, umrah dan haji.

Butik pertama Siti Khadijah terletak di Bandar Baru Bangi yang dibuka pada 2010. Seterusnya SK membuka cawangan di Seksyen 15, Shah Alam diikuti cawangan di Maju Junction pada 2013 dan terbaru di Bandar Baru Uda, Johor pada tahun lalu.

Memulakan operasinya pada 2009, kini SK memiliki bangunan sendiri yang terletak di Bangi Sentral.

Sempena pelancaran butik terbarunya itu, jenama itu turut memperkenalkan reka bentuk terbaru telekung Harmoni yang diperagakan pada majlis berkenaan. Pertunjukan fesyen itu juga memperagakan hasil jahitan pelajar kolej Srikandi.

Sebagai pelopor telekung jenama tempatan, SK meneruskan usaha melakukan inovasi, memperbaiki reka bentuk dan memperkenalkan pelbagai fabrik baru serta hiasan supaya telekung kelihatan lebih selesa dan menawan.

Setiap rekaan telekung dari SK menitikberatkan pada bahagian muka. Keselesaan muka menjadi keutamaan dan ia disusuli de­ngan pemilihan fabrik serta hiasan renda.

Malah rekaan terbaru­nya menampilkan telekung pelbagai warna di bawah jenama TPO atau The Prayer Outfit, dalam usaha me­nembusi pasaran telekung berwarna yang bermutu tinggi dan selesa disarung­kan tanpa melekap pada tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:25 AM