Sarah bersama suami dan anaknya ketika menemaninya menyiapkan doodle di dinding sekolah.
Sarah bersama suami dan anaknya ketika menemaninya menyiapkan doodle di dinding sekolah.
SARAH memanfaatkan kreativiti melukis doodle pada dinding sekolah.
SARAH memanfaatkan kreativiti melukis doodle pada dinding sekolah.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mulanya sekadar contengan biasa atas kertas kerana mahu menghilangkan kebosanan, namun siapa sangka daripada situ minat Sarah Muhammad Fauzi, 30, bercambah hingga mampu menghasilkan lukisan doodle yang mengagumkan.

Guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Pulai Perdana, Skudai, Johor itu kini diberi kepercayaan menyiapkan projek lukisan doodle pada dinding untuk menceriakan sekolahnya.

Sarah berkata, ilham menghasilkan doodle ini bermula sejak dia menetap di asrama dalam tingkatan empat kerana asyik merindui suasana rumah dan keluarganya.

“Sejak kecil, tangan saya memang tak boleh duduk diam, idea melukis akan datang apabila saya bosan sampai sekarang kalau dalam mesyuarat pun saya sempat melukis.

“Idea melukis doodle di dinding sekolah ini bermula apabila rakan kerap melihat barangan peribadi saya yang dilukiskan doodle seperti kotak alat tulis dan beg.

“Sejak itu, rakan guru mula meminta bantuan saya menghias bilik khas mereka dan perpustakaan dengan lukisan doodle bermula November lalu,” katanya yang mula pandai melukis sejak usia lima tahun.

Menurutnya, dia mengambil peluang diberikan rakan segurunya itu sebagai batu loncatan memanfaatkan medium dinding memandangkan sebelum ini hanya berkarya di atas kertas.

“Saya tidak mengenakan sebarang bayaran tetapi melakukannya kerana minat memandangkan peluang ini jarang dapat lagipun memang tujuan saya mahu menarik minat murid.

“Saya akui, memang kekok dan sukar sedikit melukis atas dinding kerana perlu melukis secara menegak dan permukaan menggerutu tetapi saya anggap ia macam kertas.

“Doodle ini infiniti jadi macam-macam corak boleh kita terjemahkan dan biasanya saya akan pastikan lukisan saya mesti ada pokok kelapa, laut, pantai dan kucing yang saya gabungkan dengan imaginasi sendiri untuk menghasilkan hidupan dalam bentuk doodle,” katanya.

Katanya, keistimewaan lukisan doodle adalah tidak memerlukan kos yang banyak kerana hanya menggunakan tiga bahan asas iaitu ‘marker’ pen, pen mata bulat serta cat pelaka.

“Saya mampu menghasilkan doodle di atas kertas dalam masa dua jam manakala dinding sebulan kerana ia hanya dilakukan ketika cuti sekolah, hujung minggu dan selepas waktu mengajar.

“Suami dan anak saya adalah insan istimewa yang selalu menyokong minat saya ini sampaikan mereka sanggup menemani saya untuk berkarya ketika cuti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 8:50 AM