CHANG didakwa lagi di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan menipu. FOTO Muhaizan Yahya
CHANG didakwa lagi di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan menipu. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


PENGARAH sebuah syarikat pemaju perumahan didakwa lagi di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan menipu.

Kali ini, dakwaannya mengenai pembayaran deposit pembinaan kondominium pelajar yang tidak wujud membabitkan kerugian RM300,000 pada 2012.

Tertuduh, Chang Kok Kheong, 60, yang juga Pengarah Syarikat Energizer Properties Sdn Bhd pada 4 April lalu didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyalah guna bayaran lebihan pinjaman rumah kedai oleh dua pembeli membabitkan kerugian RM100,000 lima tahun lalu.

Semalam, dia didakwa pula dengan tiga pertuduhan kerana memperdaya Low Chong Ban supaya mempercayai wujudnya projek pembinaan kondominium pelajar yang akan dibina di atas tapak projek bernama Segi Enclave.

Pengarah itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM300,000 melalui tiga kad bank di pejabat tertuduh di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini, pada 4 Oktober 2012.

Jika sabit kesalahan, Chang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor dan tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Chang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya dan minta supaya dibicarakan.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan manakala tertuduh merayu mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan atas alasan sudah dituduh dan dikenakan jaminan RM15,000 sebelum ini.

Nabihah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bagi tiga pertuduhan dengan seorang penjamin yang juga ahli keluarga terdekat serta menetapkan 6 Ogos depan bagi sebutan semula kes.

Pada 4 April lalu, Chang didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap bayaran lebihan pinjaman rumah kedai dibeli Ng Yee Kian, 52, dan Lee Sock Mei, 52, antara 24 Julai 2014 hingga 14 Julai 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Dia yang diwakili peguam Shahril Adli Zain bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Julie Lack kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin. Mengikut pertuduhan jika sabit kesalahan, Chang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta didenda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 4:30 AM