Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur : Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming akan disiasat mengikut Akta Hasutan kerana membuat kenyataan provokasi berhubung keputusan rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim di Twitternya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pemimpin DAP itu dengan sengaja mengundang tindakan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, tindakan ke atas Kor Ming akan diambil mengikut Akta Hasutan.

“Orang di bawah ini sengaja mengundang tindakan @PDRMsia. Kita Akan ambil tindakan di bawah Akta Hasutan,” katanya dalam Twitternya petang ini.

Beliau turut memuat naik kenyataan Kor Ming dalam Twitternya.

Sementara itu, menurut Khalid, kartunis Zunar juga akan disiasat berhubung kenyataannya di Twitter yang berbaur hasutan dan mengutuk sistem kehakiman negara.

Anwar, 68, gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan hukuman penjara lima tahun kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 3:18 PM