Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan berhubung penyebaran siaran media palsu ‘Notis Perobohan Kuil Batu Caves’ yang berunsur hasutan dan fitnah melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Datin Asmawati Ahmad berkata, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Katanya, mana-mana individu yang membantu menyebarkan siaran media itu kononnya dikeluarkan PDRM disiasat mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihatkan lebih peka dan sensitif dalam berkongsi maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan antara kaum di negara.

“PDRM tidak pernah mengeluarkan sebarang siaran media seperti itu,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan penafian berhubung notis kelulusan merobohkan kuil berkenaan melalui twitternya.

Dalam kenyataan palsu yang disebarkan itu, pihak berkuasa didakwa sudah meluluskan untuk merobohkan kuil Hindu untuk pembangunan bandar raya baru.

Laporan itu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengunjungi kuil berkenaan untuk memudahkankerja merobohkan kuil itu bermula 2 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:49 AM