JING Xuen ingin menikmati pengalaman ini dan belajar sebanyak mungkin daripada barisan pemain profesional. FOTO Bernama
JING Xuen ingin menikmati pengalaman ini dan belajar sebanyak mungkin daripada barisan pemain profesional. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bersaing bersama barisan pemain wanita terbaik dunia menjelmakan pengalaman cemas dan menakutkan dan perkara ini tidak berbeza bagi pemain wanita pertama negara memenangi emas individu di Sukan Sea, Ng Jing Xuen.

Pemain amatur berusia 15 tahun itu berharap tetap tenang saat berdepan kelompok pemain handalan dunia pada Kejohanan Golf Maybank 2023 bermula di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di sini, esok hingga Ahad ini.

Namun, yang lebih penting, pemain kelahiran Batu Pahat, Johor, itu ingin menikmati pengalaman ini dan belajar sebanyak mungkin daripada barisan pemain profesional ketika melakukan penampilan sulung pada Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA).

"Saya ingin menyatakan untuk beberapa hari akan datang, suasana amat berbeza kerana Jelajah LPGA adalah acara besar. Saya mahu hanya menganggap ini sebagai satu salah acara biasa...itulah tanggapan dan sasaran saya.

"Saya melihat ramai pemain profesional berlatih di sini dan saya banyak belajar daripada mereka. Saya pasti ingin mendapatkan kesempatan lain untuk beraksi dalam kejohanan besar seperti ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berikutan sering keadaan hujan lebat ketika ini, Jing Xuen menegaskan menilai keadaan lapangan dan membuat keputusan adalah aspek penting untuk diberi tumpuan bagi mendapatkan keputusan baik walaupun acara ini tidak ada kelayakan ke pusingan penentuan (cut-off).

"JIka anda bijak dengan pemilihan kayu golf dan melakukan pukulan putt dengan baik, maka dapat beraksi dengan baik di lapangan ini tetapi cuaca hujan menyukarkan permainan," katanya.

Sementara itu, pemenang Anugerah Rookie LPGA Terbaik 2022, Atthaya Thitkul dari Thailand percaya adalah penting untuk memberi tumpuan kepada permainan dan menikmati suasana kejohanan berbanding merisaukan tentang keputusan.

"Saya cuba berada dalam saat ini...melakukan pukulan demi pukulan di lapangan tanpa meletakkan tekanan ke atas diri saya," katanya.

Kejohanan Maybank bernillai AS$3 juta (RM14.34 juta) menampilkan 78 pemain termasuk 10 dari Malaysia dan negara Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 10:21 PM