Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop


Taiping: Polis mendapatkan kebenaran Mahkamah Majistret di sini untuk menyambung reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek kes kelar penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang maut di Kilometer 228.2, Lebuhraya PLUS dekat Bukit Gantang, minggu lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong pendaftar Mahkamah Rendah Taiping, N Mageswari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek berusia 25 tahun yang bekerja sebagai tukang masak itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, polis masih memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan siasatan secara teliti sebelum membawa kes ini ke peringkat pendakwaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 2 Februari lalu, Norsyuhada Johari, 20, penuntut UiTM kampus Permatang Pauh Pulau Pinang meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, dekat sini, kira-kira 2 petang ketika sedang mendapatkan rawatan selepas dipercayai dikelar suspek di dalam kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 10:34 AM