BOT pukat tunda yang ditahan. FOTO ihsan APMM
BOT pukat tunda yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Hamzah Osman


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan enam awak-awak warga Thailand dan merampas satu tan ikan di perairan Pulau Ujung Buluh dekat sini, Jumaat lalu kerana menangkap ikan di kawasan larangan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim 1 Langkawi, Komander Maritim R Vincent berkata, dalam kejadian 11.30 malam itu, sepasukan anggota APMM mengesan bot pukat tunda kelas C sedang menarik pukat kira-kira satu batu nautika tenggara Pulau Ujung Buluh.

"Sepatutnya bot jenis itu hanya dibenarkan menangkap ikan pada jarak lebih daripada 15 batu nautika sebagaimana yang dinyatakan dalam syarat lesen.

"Pemeriksaan awal mendapati bot itu dinaiki enam awak-awak warga Thailand berusia antara 30 hingga 58 tahun dan bot sarat dengan tangkapan ikan seberat satu tan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, bot pukat tunda dan awak-awak terbabit yang mempunyai dokumen peribadi kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985.

"Hasil tangkapan ikan yang ditemui di atas bot terbabit turut dirampas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2016 @ 6:51 PM