IMEJ yang terpapar apabila laman web MAS digodam pada kali kedua.
IMEJ yang terpapar apabila laman web MAS digodam pada kali kedua.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Laman web rasmi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) digodam dua kali iaitu pada 10 pagi dan 10.25 pagi hari ini, dipercayai dilakukan kumpulan Cyber Caliphate.

Pengguna Internet yang melayari laman web rasmi itu akan dibawa ke satu laman web lain yang mempunyai imej pesawat Penerbangan Malaysia yang tertulis ‘404-Plane Not Found. Hacked by Cyber Caliphate. Follow Cyber Caliphate on Twitter.”

Bagaimanapun ia pulih kembali namun pada 10.25 pagi, laman itu sekali lagi digodam.

Kali ini, tertera di laman web itu satu imej menunjukkan gambar cicak bersut hitam dan bertopi dan di bawahnya tertulis ‘Hacked by Lizard Squad - Official Cyber Caliphate.’

Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan mengesahkan sistem domain digodam di mana setiap pelanggan akan dibawa ke laman web lain yang dibuat penggodam.

Menurutnya, bagaimanapun pada tahap ini laman sesawang MAS masih utuh.

“MAS sudah berhubung dengan pengendali perkhidmatan dan sistem dijangka akan kembali seperti biasa dalam tempoh 22 jam.

“Kita juga sudah melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam satu kenyatan media dikeluarkan hari ini.

MAS turut memberi jaminan penempahan tiket serta maklumat pelanggan tidak terjejas dan masih selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 1:39 PM