AP

Rome: AS Roma menundukkan Empoli 2-1 selepas masa tambahan untuk layak ke suku akhir Piala Itali, awal pagi semalam, dibantu sepakan penalti yang dipertikaikan.

Daniele De Rossi menyempurnakan sepakan penalti lima minit sebelum tamat, mengelirukan penjaga gol Empoli Davide Bassi selepas Piotr Zielinski jelas dihukum secara tidak adil menjatuhkan Leandro Paredes.

“Anda boleh lihat dia membentes kakinya, tapi sukar mengetahui sama ada ia sebelum atau selepas dia mendapat bola,” jelas jurulatih Roma Rudi Garcia. “Saya fikir pengadil berada di tempat tepat untuk menghakimi keputusan itu.”

Empoli hampir menyamakan kedudukan pada saat akhir, namun penjaga gol Roma, Lukasz Skorupski melakukan tindakan penyelamat mengagumkan untuk menafikan Francesco Tavano.

Roma diejek ketika keluar padang oleh penyokong mereka sendiri selepas persembahan hambar menentang pasukan bermasalah yang menghuni tangga bawahan Serie A, 22 mata di belakang kelab itu.

“Saya amat kecewa berbanding pemain,” kata jurulatih Empoli Maurizio Sarri. “Apa pandangan saya mengenai sepakan penalti itu?

“Apa yang setiap orang fikirkan di stadium, tapi kelab meminta saya tidak memberi sebarang komen, sekalipun semuanya jelas.

“Garcia mungkin menyatakan ia penalti, tapi tidak oleh pemainnya sendiri. Saya bercakap dengan dua pemain Roma dan mereka kata ia tidak sepatutnya penalti.”

Roma bermula sempurna apabila mendahului tidak sampai lima minit selepas hantaran lintang Douglas Maicon ditampan masuk Juan Manuel Iturbe.

Empoli menyamakan kedudukan pada minit ke-80 apabila Simone Verdi mengatasi perangkap ofsaid dengan menggelecek Davide Astori dan Skorupski sebelum merembat ke penjuru gawang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:19 AM