Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kejayaan merangkul gelaran Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 29 (AJL 29) bersama Caliph Buskers menerusi lagu Romancinta langsung tidak melalaikan kumpulan Mojo.

Tidak mahu terbuai dengan pelbagai pujian, Mojo yang dianggotai Edry (keyboard, synthesizer), Denny (gitar) dan Johar (dram) terus mengorak langkah mempromosikan single terbaru berjudul Dahsyat bersama penyanyi baru dari Indonesia, Ryan Brakhma.

Dalam temu bual bersama RAP baru-baru ini, Edry yang juga ketua kumpulan dan pengasasnya berkata, mereka kini tampil dengan Mojo versi baru atau lebih tepat dikatakan Mojo 2.0 dan enggan mengenang kejayaan bersama Romancinta.

"Ia penjenamaan semula Mojo. Kalau boleh kami nak tutup cerita Romancinta selepas berakhirnya AJL 29. Ini lembaran baru Mojo kerana selepas ini kami nak luaskan pasaran ke Indonesia.

"Matlamat kami nak jadikan Mojo band serantau. Denny dan Ryan berasal dari Indonesia manakala saya dan Johar dari Malaysia. Ia sekali gus menunjukkan Mojo sebuah kumpulan unik,"katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:30 AM