AKSI Caliph Buskers menghiburkan peminat dan pengunjung.
AKSI Caliph Buskers menghiburkan peminat dan pengunjung.
Oleh Rosli Mansor Ahmad Razali


Persembahan memukau kumpulan muzik jalanan orang kelainan upaya (OKU) Caliph Buskers dalam Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL29) baru-baru ini mencetuskan fenomena baru dalam industri muzik tanah air.

Bertitik tolak dari kejayaan yang diraih dalam ketogori persembahan terbaik AJL29 bersama Mojo, penyanyi utamanya Khairul Azmi Saat, 28, beranggapan populariti mendadak yang dialami sekarang membuka laluan kepada mereka untuk memulakan kerja amal.

“Kami tidak menjangka penerima masyarakat yang begini hebat terhadap pejuang seni seperti kami. Selain dari punca rezeki, kami akan memperbanyakkan kerja amal bagi membantu rakan buskers terutama yang senasib dengan kami”, katanya.

Impian dan hasrat Khairul Azmi terbukti apabila kemunculan istimewa Caliph Buskers dalam program basking amal dan doa kesyukuran anjuran Pemuda UMNO Ipoh Barat bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

“Aktiviti amal seumpama ini dapat menjalinkan hubungan erat antara pemuzik jalanan yang lain selain menaikan lagi imej buskers.

“Ia membuktikan kepada orang ramai bahawa pemuzik jalanan juga mampu bersama menjayakan program khidmat sosial,” katanya selepas menghiburkan lebih 500 orang sempena program itu.

Program yang dibawa khas Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) itu mempersembahkan aksi Caliph Buskers melalui lima lagu termasuk lagu Romancinta.

Khairul Azmi berkata, penerimaan masyarakat yang di luar jangkaan itu menjadi penyuntik semangat bagi meneruskan perjuangan mereka.

“Ini adalah satu kejutan dan tekanan bagi kami. Ia terlalu awal untuk kami dan seharusnya memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

“Adakalanya kami tidak tahu untuk memulakan langkah seterusnya, apapun kami bersyukur ini adalah rezeki Allah dan satu permulaan bagi kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Unit Hubungan Antarabangsa dan Sukarelawan YBU Salim Putera Ahmad Shibi berkata, hasil sumbangan melalui orang ramai ini akan disalurkan terus ke akaun YBU bagi membantu kumpulan sasar.

“Sebelum ini kami sudahpun menjayakan pelbagai program pemuzik jalanan, namun kemunculan Caliph Buskers berjaya membuktikan pemuzik jalanan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dengan cara mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:33 AM