Kuala Lumpur: REDtone International Bhd (REDtone) menyambut baik pelantikan Datuk Seri Dr Halim Shafie sebagai pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang dilihat tepat dan paling dinamik bagi industri.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Tan Sri Syed Abbas Al Habshee berkata, pelantikan Datuk Seri Dr Halim memang tepat pada masanya bagi industri paling dinamik di Malaysia yang antara lain sedang menyaksikan pertembungan pelbagai platform komunikasi dan media dan yang sedang beralih kepada sistem digital.

“Pengalaman luas, pengetahuan mendalam mengenai industri telekomunikasi serta kebolehan yang dimilikinya akan memastikan kemampuan SKMM untuk terus berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan.

“Komitmen serta kekuatan semangatnya akan membantu memacu kepesatan pembangunan landskap telekomunikasi dan multimedia di Malaysia serta melonjakkan kemajuan industri ini ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Lars Norling berkata, pelantikan Datuk Seri Dr Halim dijangka akan membantu merancakkan sektor telekomunikasi.

“Pengalamannya yang luas dalam bidang ini menjadikannya lebih memahami cabaran dan peluang untuk pertumbuhan sektor ini.

“Malah, kami juga akan mencari peluang kerjasama dengan pasukannya bagi membangunkan ekosistem telekomunikasi bertaraf dunia dan menawarkan perkhidmatan Internet di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:22 AM