RUMAH mangsa musnah terbakar. FOTO ihsan bomba.
RUMAH mangsa musnah terbakar. FOTO ihsan bomba.
Oleh Junaidi Ladjana

Papar: Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun ditemui rentung di dalam rumahnya di Kampung Manggis, Jalan PLKN, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, mangsa Jakri Busing, ditemui rentung oleh anggota bomba sebaik api berjaya dipadam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Papar Dunstan Peter berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.04 malam dan tiba di lokasi kejadian 22 minit kemudian.

"Satu jentera bomba dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian hampir keseluruhan rumah berkenaan musnah terbakar dan operasi pemadaman terus dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 8.46 malam dan seorang mangsa ditemui rentung di dalam rumah terbabit.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 11:19 PM