ARTIS jemputan, Abam dan Kaka Azraf.
ARTIS jemputan, Abam dan Kaka Azraf.
Syanty Octavia Amry


Aksi parodi sekarang ini dilihat semakin menjadi 'trend' dalam kalangan masyarakat. Tidak hanya di laman sosial ia turut dijadikan satu segmen dalam mana-mana program yang diterbitkan.

Justeru, fenomena parodi diangkat dalam sebuah program bual bicara bertajuk Diva yang bakal disiarkan di TV9 bermula 17 Januari ini.

Bukan niat meniru program bual bicara yang sedia ada, program Diva ini ditayangkan berikutan mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada penonton pada siaran Diva Raya yang lalu.

Dihoskan oleh dua pengacara berbakat, Zulin Aziz dan Sherry Al Hadad, Diva menjadikan mana-mana program bual bicara yang disiarkan di bawah stesen Media Prima Berhad sebagai bahan untuk dijadikan parodi.

Bertemu dua pengacaranya pada sesi rakaman akhir program 12 episod itu, Sherry berkata, ketika menjejakkan kaki ke studio rakaman program berkenaan dia bagai tidak percaya bakal ada program kelolaan sendiri.

"Saya bertanya kepada Zulin betul ke ini program kendalian kita? Kerana saya masih rasa terpinga-pinga seperti tidak percaya apa yang berlaku hari ini.

"Kata Zulin kepada saya, daripada malam sebelum tiba ke studio dia terlebih dulu sudah memikirkan perkara itu. Sambil mentertawakan saya dia meyakinkan itu memang program kami.

"Terasa seperti tidak sia-sia usaha kami berdua selama ini akhirnya ada pihak yang buka mata. Betullah kata orang, angan-angan digandakan dengan usaha pasti akan membuahkan hasil.

"Alhamdulillah, selepas berlakon dan mengacara program orang, kini kami ada program sendiri," katanya.

Bagi Zulin pula, program ini adalah atas usaha bersama apabila pihak produksi sendiri yang menjanjikan jika Diva Raya mendapat sambutan mereka akan menyiarkan program Diva ini.

"Apa yang berlaku memang tiada kena mengena dengan kontrak kami yang tamat sebagai pengacara Melodi. Semuanya sudah dirancang lebih awal, kontrak dengan Melodi memang kami tandatangani hanya enam bulan.

"Kebetulan tamat saja dengan Melodi, kami terus dipanggil untuk masuk studio rakaman program Diva. Saya anggap ini adalah rezeki atas kerja keras kami berdua demi membuktikan kepada masyarakat kami juga mampu mendapat tempat dalam industri ini," katanya.

Sementara itu, Penerbit Diva, Kamarul Zariman Abd Rahman berkata, program yang mempunyai empat segmen ini bukanlah hendak meniru mana-mana program sedia ada.

Sebaliknya pengisian yang diberikan lebih kepada menghiburkan penonton dengan aksi dan parodi yang dibuat oleh Zulin dan Sherry.

"Melalui program ini penonton boleh melihat Zulin dan Sherry menjadi diri sendiri. Bergelak ketawa dengan setiap isu yang dipaparkan dikongsi dengan artis jemputan yang mungkin anda lihat seorang yang serius akan menjadi lucu bila berada dalam program ini.

"Gandingan mereka juga adalah pilihan yang tepat. Walaupun baru pertama kali bekerja dengan mereka berdua, kami tiada masalah kerana pada saya masing-masing sedang berada pada peringkat ujian.

"Harapan saya, penonton akan tertarik dengan format program ini yang lain daripada program lain. Jika ada kritikan sekali pun kami anggap ia sebagai rujukan untuk kami perbaiki pada masa akan datang," katanya.

Program Diva akan disiarkan bermula 17 Januari ini setiap hari Sabtu jam 9 malam dan terdahulu slot #Kelakarama akan bersiaran pada jam 8.30 malam juga dihoskan oleh Zulin dan Sherry.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:01 AM