Saya dan suami bernikah sejak empat tahun lalu. Dalam usia perkahwinan yang muda ini, kami pernah bercerai sekali dan kembali rujuk.

Punca perceraian kerana salah faham selain wujud campur tangan ahli keluarga terutama ibu kedua-dua pihak.

Keputusan rujuk diambil dengan persetujuan bahawa saya dan suami tidak akan mendengar cakap-cakap orang termasuk keluarga terdekat sebelum kami berbincang sesama sendiri.

Persoalannya kini, suami seolah-olah cuba menyekat hubungan saya dengan keluarga.

Sejak rujuk lebih setahun lalu, saya diingatkan usah berkongsi masalah dengan adik-beradik dan ibu.

Malah, dilarang pulang ke kampung sebagaimana awal pernikahan kami dulu.

Saya sedar perubahan ini banyak melukakan hati ibu, namun suami kerap mengingatkan saya dosa nusyuz.

Apakah saya benar-benar nusyuz jika berbohong kepada suami, mengatakan terpaksa bekerja di luar daerah untuk pulang bertemu ibu di kampung?

Siti

Selangor

Batasan ketaatan seorang isteri terhadap suaminya digariskan Rasulullah SAW dengan sabda bermaksud: "Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasannya adalah wanita yang solehah.

"Bila engkau memandangnya, ia menggembirakan (menyenangkan) mu. Bila engkau perintah, ia mentaatimu. Dan bila engkau bepergian meninggalkannya, ia menjaga dirinya (untukmu) dan menjaga hartamu."

Berdasarkan hadis ini, ketaatan seorang isteri kepada suami menjadi kunci penarafan mereka sebagai isteri solehah.

Bukan mudah mencapai tahap itu apabila dikaitkan dengan arahan kepada isteri untuk sentiasa menjaga diri dan harta benda suami sewaktu suami tiada di rumah.

Ini bermaksud bahawa isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya kecuali dengan izin suaminya, walaupun kedua-dua ibu bapa yang memerintahkannya untuk keluar.

Kebanyakan isteri seringkali hanya memikirkan logik akal dalam soal keluar dari rumah.

Mereka mudah membelakangi arahan suami dengan alasan yang tidak syari'e, sedangkan ketaatan isteri kepada suaminya adalah amat dititiberatkan dalam Islam.

Malah, apabila seorang suami ingin membawa isterinya berpindah ke tempat lain dalam keadaan di mana suami telah menunaikan apa yang wajib baginya dan menjaga hukum-hukum Allah SWT dalam soal hak isterinya, maka isteri hendaklah taat kepada suami walaupun ayah atau ibu melarang.

Ini kerana, perbuatan itu adalah kezaliman kerana boleh ibu bapa tidak boleh melarang anak perempuannya mentaati suaminya.

Akan tetapi, jika suaminya melarangnya daripada mengerjakan apa yang Allah SWT perintahkan atau sebaliknya menyuruh dia mengerjakan perbuatan yang Allah SWT larang maka tidak wajib baginya mentaati suami.

Tidak dinafikan puan menghadapi dilema yang amat sukar disebabkan sikap suami dan ibu bapa serta keluarga puan yang masing-masing tidak mahu beralah.

Suasana ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana boleh menyebabkan keretakan rumah tangga sekali lagi.

Puan mesti berterus-terang dengan suami puan dan menyelesaikan persengketaan antara beliau dengan ibu bapa puan kerana itu juga peranan yang seharusnya dimainkan oleh seorang isteri yang bijak dan solehah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:01 AM