DOA Kartini buat anak tercintanya, Noor Neelofa dan PU Riz.
DOA Kartini buat anak tercintanya, Noor Neelofa dan PU Riz.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Ibu Neelofa iaitu Datin Noor Kartini mendoakan anak tercintanya sentiasa mentaati dan menyayangi jejaka pilihan hati yang juga pelakon dan pendakwah PU Riz.

Kartini berkata, dia turut mendoakan supaya pasangan itu dilimpahi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

"Syukur Alhamdullilah segala apa yang dirancangkan berjalan dengan baik dan dirahmati. Ya Allah, ikatan mereka dibina atas perancangan-Mu, atas rencana-Mu. Aku sebagai ibu mensyukuri apa yang Engkau rencanakan kerana Engkau adalah sebaik baik perancang.

"Wahai anakku sayang Neelofa, taati dan sayangilah suamimu Haris dan serikanlah mahligai cintamu setiap saat dan setiap waktu seperti mana Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan sepetri Engkau satukan Nabi Muhammad SAW dan Siti Khadijah.

"Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia akhirat kelak, Insya-Allah," tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Kartini, dia juga berdoa supaya Neelofa dan Riz dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

"Ya Allah Ya Tuhanku, berkati dan serikan mahligai cinta mereka dengan siraman cinta setiap masa dan kurniakan kepada mereka zuriat yang soleh dan juga solehah.

"Doa mama dan keluarga sentiasa mengiringi gerak langkah dan perjalanan kamu wahai sayangku, berat tangan ini melepaskanmu sayang tetapi aku tahu ini aturan yang baik buatmu kerana Allah kurniakan kamu pasangan yang baik untuk menyambut lepasan tanganku ke tangannya dan terus membimbingmu ke jalan Allah.

"Mama sentiasa sayangkan cinta hati mama. Semoga berbahagia dan bercinta hingga ke Jannah," tulisnya lagi.

Kelmarin, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor sah bergelar isteri Riz dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Majlis bertemakan rona putih itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:54 PM