IKHWAN terus teguh perjuang muzik berkonsep ketuhanan.
IKHWAN terus teguh perjuang muzik berkonsep ketuhanan.
Georgie Joseph


PENGHIJRAHAN pengacara dan pelakon Neelofa yang memutuskan untuk berniqab tahun lalu jelas mencetuskan inspirasi kepada ramai.

Tidak terkecuali komposer dan penyanyi Ikhwan Fatanna.

Ikhwan atau nama sebenarnya Ikhwan Fatanna Mokhtar, 31, berkata, dia kagum dengan jalan dipilih Neelofa itu, sekali gus menjadikannya inspirasi untuk mengilhamkan lagu baharunya berjudul Isteri Solehah.

Walaupun dia masih bujang, ia bukan penghalang buatnya menghasilkan lagu yang menyentuh mengenai insan bergelar isteri.

Baginya, Isteri Solehah adalah gambaran kepada wanita terpuji secara keseluruhannya.

"Idea untuk menulis lirik lagu ini hadir ketika artikel mengenai Neelofa berniqab keluar. Ketika itulah saya menyiapkan demo dan memuat naiknya di media sosial. Alhamdulillah respons yang saya terima sangat baik.

"Saya membayangkan Isteri Solehah itu boleh jadi siapa-siapa sahaja di dalam hidup seseorang. Mungkin kakak ataupun saudara mara mereka. Setiap wanita itu layak untuk bergelar isteri solehah," katanya.

Yang pasti, lagu berkenaan adalah cetusan aura positif Ikhwan untuk disebarkan kepada sesiapa juga mendengarnya. Setiap penghijrahan yang baik tidak dinafikan memberi penyanyi itu idea baharu.

Bukan setakat Neelofa, tetapi golongan berpengaruh lain yang berjaya meninggalkan impak besar dalam kehidupan orang lain. Itulah juga antara faktor buatnya nekad menulis lagu Isteri Solehah.

"Saya lihat ramai artis dan 'influencer' di media sosial yang mengumumkan mengenai berita baik. Hakikatnya ada pun yang sudah berhijrah ke arah kebaikan dengan perubahan demi perubahan baik.

"Aura positif inilah yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lagu ini. Saya akui antara yang paling memberi kesan dan menguatkan saya menulis lagu ini adalah penghijrahan Neelofa," katanya.

Peminat pastinya tahu Ikhwan sebenarnya seorang komposer yang cukup aktif menghasilkan lagu pop. Sentuhannya sentiasa menjadi dan liriknya merangkumi kisah cinta dan sebagainya.

Bagaimanapun, dia masih berpegang kepada prinsip dirinya untuk terus menghasilkan lagu berkisar ketuhanan bagi karya sendiri pula. Justeru, dia memilih konsep itu untuk lagu Isteri Solehah juga tanpa ragu-ragu.

Menurutnya, mesej yang ingin disampaikan dalam lagu berkenaan itu sangat besar pengertiannya juga. Tiada lain yang diharapkannya selain ia bakal menyentuh jiwa golongan wanita di luar sana.

"Saya amat teruja untuk berkongsi lagu ini kepada orang ramai. Saya mengharapkan Isteri Solehah dapat memberi manfaat dan semangat kepada semua wanita untuk terus berbakti kepada keluarga mereka," katanya

Lagu itu dicipta sepenuhnya oleh Ikhwan manakala susunan muziknya mendapat sentuhan Wan Saleh. Isteri Solehah diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Ia sudah boleh dinikmati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox bermula 24 Februari lalu, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music bermula 1 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:30 AM