Mohd Rizal Azman Rifin

Sesungguhnya, setiap amalan rukun ibadah haji memiliki sejarah yang tersendiri.

Alangkah ruginya seandainya setiap bentuk amalan itu sekadar kita ikut dan patuh buat kerana ia diwajibkan untuk kita laksanakan sahaja.

Sebaliknya, kita seharusnya turut juga menghayati bagaimana sejarahnya bermula dan mencuba untuk mengaut seberapa banyak hikmah di sebaliknya, sekali gus untuk menjadikannya sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan.

Misalnya, ibadah saei, iaitu berulang-alik berlari anak atau berjalan kaki antara Bukit Safa dan Bukit Marwa. Ada sejarahnya, ada sumber inspirasi yang boleh kita terapkan dalam diri.

Kisah perjalanan hidup Siti Hajar bersama suami tercinta Nabi Ibrahim yang kemudian dikurniakan cahaya mata yang diberi nama Ismail mempunyai banyak pengajaran buat dijadikan sumber inspirasi. Antaranya ialah sikap taat dan patuh kepada suami.

Gambaran kisah bagaimana dia dan anaknya yang masih kecil ditinggalkan oleh suami di kawasan yang tandus dan kering kontang yang tidak berpenghuni itu sudah membuktikan betapa tebal kesetiaan dan kepatuhan kepada suami.

Siti Hajar sempat berkata kepada suaminya, Ibrahim AS sebelum Baginda pergi meninggalkannya bersama puteranya, Ismail, "Sekiranya ini adalah kehendak Allah dan perintah yang diturunkan oleh Allah, pergilah kamu meninggalkan kami dengan segera.

Pergilah, saya reda kamu meninggalkan kami di lembah ini. Sudah ketetapan-Nya kami menetap di sini." Nyata pada hati dan jiwa Siti Hajar sarat dengan taat dan kepatuhan yang tinggi terhadap suami kerana beliau tahu taat dan patuh itu adalah ciri seorang wanita solehah.

Sebenarnya intipati pertama berkaitan unsur taat kepada suami harus direnungi oleh setiap wanita masa kini agar tidak cepat bertindak sehingga mengeruhkan hubungan dalam rumah tangga. Banyak kes pergaduhan rumah tangga sehingga membawa kepada perceraian terjadi lantaran sikap keterlaluan pihak isteri mahupun suami.

Dalam aspek ketaatan kepada suami ini juga banyak kali dipesankan oleh Rasulullah SAW, antara yang boleh kita petik di sini ialah kisah yang diceritakan oleh Saidina Umar al-Khattab. Kata Umar bahawa Rasulullah SAW ada beritahunya, "Mahukah engkau, aku tunjukkan pundi-pundi terbaik yang disimpan seseorang di dunia ini?"

Kemudiannya Rasulullah mengatakan, "Ia adalah wanita solehah yang menenangkan kalbu dan menyejukkan jiwa suaminya apabila dipandang, menurut dan patuh apabila disuruh dan menjaga dirinya di belakang suaminya serta istiqamah menjaga hartanya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Aspek pengajaran seterusnya yang menjadi sumber inspirasi buat kita daripada kisah Siti Hajar bersama puteranya, Ismail ialah sikap tidak mudah putus asa dalam mencari rahmat Allah.

Beliau dengan semangat seorang ibu yang penyayang terhadap zuriatnya sanggup berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwa sebanyak tujuh kali semata-mata mencari kawasan sumber air.

Dia dan anaknya sudah semakin kehausan kerana tiada lagi bekalan makanan dan air yang boleh digunakan.

Siti Hajar dengan hati bagai tersayat duri penuh pilu menatap wajah anaknya yang mulia itu, lalu berdoa ke hadrat Allah agar dikuatkan semangat menempuh dugaan yang bukan kepalang beratnya.

Meskipun ada ketikanya beliau buntu setelah beberapa lama berulang-alik, namun masih belum dijumpai sebarang lokasi yang mempunyai air. Dalam kotak fikiran hanyalah satu, iaitu terbayangkan anak comelnya, Ismail yang ditinggalkan sementara di dalam khemah keseorangan. Tabah dan cekalnya Siti Hajar.

Inilah ibu sejati dan dialah ikon sumber inspirasi buat kita.

Bagi Siti Hajar, biarlah dia seorang sahaja yang lapar dan dahaga, asalkan anaknya sihat dan mendapat makanan.

Selagi tenaga masih ada, hayunan langkah walaupun semakin longlai, beliau tetap berusaha di samping terus bermunajat agar Allah memberikan pertolongan. Dipendekkan kisah, akhirnya setelah penat dan rasa badan sudah terlalu lemah, Siti Hajar kembali semula ke tempat anaknya.

Dengan perasaan serba salah penuh terharu, dia menatap wajah anaknya yang juga semakin lemah itu dengan linangan air mata yang berderai.

Dalam hatinya, Siti Hajar mengeluh perlahan, "Ke mana lagi harus aku pergi untuk mencari air sedangkan kawasan ini kering kontang."

Anaknya, Ismail ketika itu semakin lemah dan hanya terdiam kaku.

Situasi itu membuatkannya berasa cemas yang amat sangat kerana bimbang anaknya sudah tiada lagi.

Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Allah akan membantu sesiapa sahaja yang beriman dan luhur keikhlasannya kepada-Nya.

Dengan tidak semena-mena dia menyaksikan satu peristiwa luar biasa yang membuatkannya kembali dengan raut wajah yang ceria. Anaknya menghentak- hentakkan kaki dan ini memberikan gambaran bahawa anaknya masih hidup lagi.

Bukan itu sahaja, Siti Hajar juga dihadiahkan dengan bekalan air yang selama ini begitu dicari-carinya.

Pada ketika anaknya menghentak-hentakkan kaki di atas tanah, malaikat muncul di sisi Ismail lalu menghempaskan sayapnya sehingga terpancut air yang selama ini dicari-carinya.

Anaknya terus menerus menghentak-hentakkan kakinya sehingga terlihat genangan air mulai membasah tanah yang sebelum ini kering gersang itu. Lalu kata Siti Hajar, "Zam, Zam, berkumpullah, berkumpullah."

Siti Hajar menarik nafas lega kerana Allah telah memberikan pertolongan tepat pada masa penuh kritikal.

Dengan penuh rasa syukur, Siti Hajar berkata, "Terima kasih Ya Allah. Terima kasih Ya Allah, Engkau telah mengabulkan doaku. Engkau memberi berita gembira dengan melimpahkan rahmat-Mu kepada kami. Terima kasih, Ya Allah."

Pengajarannya buat kita semua bahawa usaha untuk menangani sebarang masalah perlu dilakukan dan tidak boleh bersikap pesimistik.

Usaha penuh komitmen dan doa dengan penuh yakin, harus menjadi slogan hidup kita sebagai seorang mukmin. Ambillah pengajaran kisah Siti Hajar itu dan kita terapkan dalam kehidupan.

Kita seharus menanamkan ke dalam jiwa bahawa setiap kesukaran akan diakhiri dengan kesenangan seandainya kita sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Allah.

Sebenarnya kisah Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan Ismail AS begitu padat dengan pengorbanan dan sebagai mukmin yang berada di zaman mutakhir ini, amatlah rugi sekiranya kita tidak cungkilkan ibrah daripada kisahnya.

Mari kita jadikan kisah mereka sebagai sumber inspirasi untuk kita mewarnai corak kehidupan di dunia dengan nilai diri yang mulia lagi diredai Allah.

Semoga kehadiran Hari Raya Aidiladha/Hari Raya Korban/ Hari Raya Haji tahun ini membuatkan diri kita untuk menjadikannya bukan sekadar hari mulia lagi berpahala besar untuk diraih dengan sebaiknya. Akan tetapi kita mahu memunculkan diri kita selaku umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa bijak menghayati setiap amalan demi mengharap reda Allah dan sebagai sumber inspirasi kehidupan.

Insya-Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 6:00 AM