Oleh Khuzama Ab Rahaman dan Farah Adibah Mohd Apandi

Ramadan adalah bulan dilimpahi dengan seribu satu kelebihan kurniaan Allah kepada hamba-Nya, malah dijanjikan ganjaran berganda atas amal ibadat dan kebaikan yang dilakukan.

Justeru, peluang untuk menambah saham akhirat terdapat di mana-mana dan tidak seharusnya dilepaskan begitu saja oleh umat Islam.

Ramadan adalah bulan istimewa kerana diturunkan al-Quran. Pada bulan inilah terdapat satu malam lebih baik daripada seribu bulan sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)

Imbuhan dijanjikan Allah adalah satu motivasi kepada umat Islam untuk merebut segala kelebihan dan kebaikan, sekali gus meraih reda-Nya.

Benarlah Ramadan dikira sebagai bulan kebaikan yang melimpah kerana pelaksanaan ibadat wajib dilakukan umat Islam secara berjemaah.

Aktiviti kebaikan dilakukan secara ‘mega’ kerana di mana-mana kita melihat adanya kumpulan tadarus, kuliah Zuhur, solat Tarawih, program bersama anak yatim, majlis buka puasa, malah tabung derma juga dilihat bergerak sarat di masjid dan surau.

Semua pihak berebut membuat kebaikan. Bulan inilah orang akan sentiasa bersedekah dan menghulurkan bantuan tanpa mengira masa.

Amalan bersedekah sememangnya menjadi keutamaan pada Ramadan seperti hadis diriwayatkan at-Tirmidzi mafhumnya: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.”

n

Bersedekah amalan Rasulullah

Rasulullah SAW adalah idola dan ikon semua Muslim. Golongan bukan Islam juga mengagumi akhlak ataupun budi pekerti Baginda.

Baginda SAW adalah insan paling banyak bersedekah dan bersegera dalam membuat kebaikan.

Sikap Baginda yang suka memberi dan membantu wajib diikuti. Sebagai umat Baginda, perbanyakkanlah bersedekah sebagai bukti kecintaan kita kepadanya.

Tarbiyah ditunjukkan Rasulullah SAW seharusnya menjadikan umatnya progresif, cakna keadaan sekeliling dan terhindar daripada sifat pasif, statik serta berdiam diri tanpa melakukan sesuatu.

n

Memberi lebih baik daripada menerima

Mukmin terbaik adalah yang banyak memberi berbanding menerima. Tanamkanlah keazaman pada Ramadan ini untuk memulakan langkah pertama dalam mendidik diri menjadi tangan yang menghulurkan pertolongan.

Sifat memberi ini tidak semestinya dalam bentuk harta benda dan wang ringgit yang bersifat material.

Bekerja dengan pekerjaan halal serta memberi manfaat kepada diri dan keluarga, memberikan pertolongan kepada orang memerlukan, menyuruh orang melakukan kebajikan atau kebenaran dan menahan diri daripada membuat kejahatan juga dikira bersedekah.

Jelasnya, perbuatan baik datang daripada jiwa ikhlas dan peluang untuk mendapatkan rasa jiwa yang tenang tentulah berakar umbi daripada sifat memberi.

Pemberian daripada hati yang ikhlas tentunya akan melahirkan sifat senang, berlapang dada dan tidak berkeluh-kesah.

Penulis dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 8:59 AM