TENANG dan khusyuk perlu ditekankan dalam mengerjakan solat.
TENANG dan khusyuk perlu ditekankan dalam mengerjakan solat.

Baru-baru ini heboh khalayak memperkatakan mengenai solat Tarawih dan Witir dalam masa 10 minit saja. Ia dikatakan berlaku di sebuah tempat di negara jiran. Saya sempat juga menonton petikan ringkas yang didakwa berkaitannya di YouTube.

Namun, saya tidaklah mahu terus mempertikaikan pihak terbabit. Jauh sekali untuk merendah-rendahkan mereka kerana ibadat sendiri belum tentu terhindar daripada kekurangan walaupun selalu saja berasa sempurna.

Allah juga berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka.

“Dan janganlah sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka...” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Namun bukanlah bermak- na tiada langsung ruang untuk memberikan komentar atas dasar nasihat bagi perkongsian bersama.

Secara sepintas lalu, apabila kita perhatikan kepada nas, ada penekanan mengenai khusyuk, ketenangan serta kesungguhan ataupun komited.

n

Khusyuk

Khusyuk adalah buah iman dan natijah keyakinan yang diperoleh dengan kebesaran Allah Azza wa Jalla.

Firman-Nya pada surah al-Mukminun, ayat 1 hingga 2 bermaksud: “Sungguh beruntung orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Saya tidak mengatakan orang yang solat cepat itu tidak khusyuk. Bahkan, dalam kitab Ihya Ulum ad-Din, pengarangnya ada menghuraikan antara cara sesetengah orang mendapatkan khusyuk dalam solat, tidak terlalu lama mengerjakannya.

Sesetengah mereka tidak lama dalam solat kerana takut datang waswas (gangguan fikiran dan tidak tenteram).

Diceritakan bahawa Thalhah, az-Zubair serta segolongan daripada sahabat RA adalah termasuk antara orang yang mengerjakan solat dengan sederhana.

Mereka itu mengatakan: “Kami menyegerakan solat itu kerana menjaga daripada gangguan syaitan.”

Bagaimanapun, cepat atau tidak lama itu berbeza dengan keadaan yang terlalu cepat. Solat dalam keadaan terlalu cepat dikhuatiri sukar untuk menghayati serta menyebut ayat al-Quran dengan makhraj dan hukum tajwid secara tepat.

n

Tidak terburu-buru

Sifat terburu-buru antara sifat buruk yang ada di dalam diri setiap manusia. Jika tidak ditangani, ia boleh mencambahkan sifat buruk lain seperti tidak sabar, malas dan berputus asa.

Allah memberi peringatan melalui firman-Nya bermaksud: “Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru pada serba-serbinya...” (Surah al-Anbiya, ayat 37)

Jadi, alangkah elok sekiranya kita mengerjakan solat ataupun apa-apa saja ibadat dengan tenang. Apabila sesuatu itu dimulai dan dilakukan dengan tenang, hasilnya juga adalah ketenangan.

n

Kesungguhan

Hal ini membabitkan dua keadaan iaitu kehendak untuk melakukannya dan pelaksanaan itu sendiri. Sesetengah orang kehendaknya kuat, tapi pelaksanaannya tidak. Sepatutnya diseimbangkan antara kedua-duanya.

Jika kita perhatikan kepada hadis, Nabi SAW seorang yang bersungguh- sungguh melaksanakan solat malam. Saidina Aisyah RA ada menjelaskan, Nabi SAW solat malam hingga dua kaki Baginda pecah-pecah.

Dalam satu lagi hadis daripada Aisyah RA mafhumnya: “Apabila memasuki sepuluh (malam) terakhir Ramadan, Rasulullah SAW menghidupkan malam, membangunkan keluarga, Baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan sarung.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Marilah kita beribadat dengan sebaik-baiknya. Kita beribadat bukan mengejar waktu dan matlamat untuk cepat selesai, tapi mencari pahala dan reda-Nya. Mudah-mudahan ibadat yang kita lakukan, sedikit mahupun banyak diterima oleh- Nya.

Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:37 AM