Nabihah Kamal


Serdang: Pemain import skuad Liga Super Selangor yang ditahan kerana disyaki memiliki kereta klon 4 pagi hari ini direman tiga hari sehingga Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Assisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, reman terhadap lelaki berusia 32 tahun berasal dari Liberia itu bertujuan membantu siasatan kes berkenaan.

Harian Metro hari ini melaporkan lelaki itu ditahan di Bandar Puteri Puchong dan kereta BMW 325i yang dipandunya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Semakan nombor casis kereta pula didapati tiada sebarang rekod dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengurus pasukan Selangor, Abdul Rauf Ahmad mengesahkan pemain import Red Giants itu ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 7:31 PM