PENIAGA dan wakil IKHLAS di hadapan Bangunan Perdana Putra selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Perdana Menteri. FOTO Samadi Ahmad
PENIAGA dan wakil IKHLAS di hadapan Bangunan Perdana Putra selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Perdana Menteri. FOTO Samadi Ahmad
Nursyahirah Marzuki


Putarajaya: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini bagi membantu menyelesaikan isu meroboh pusat beli belah Ampang Park.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) enggan berbincang dengan wakil pemilik lot kedaiberhubung perkara itu.

"Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk meminta campur tangan Perdana Menteri dalam menyelesaikan kemelut ini bagi membela nasib kira-kira 139 pemilik yang mahu pusat beli belah itu dikekalkan.

"Melalui memorandum berkenaan, kita memberi lima cadangan bagi mempertimbangkan perkara ini supaya Ampang Park tidak dirobohkan," katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum berkenaan di sini, hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Penolong Setiausaha Pejabat Perdana Menteri Megat Shah Hamerul Megat Mohd Yusof.

Mohd Ridzuan berkata, satu cadangan yang dikemukakan adalah MRT Corp perlu membina laluan pejalan kaki mengikut persetujuan 139 pemilik strata Ampang Park seperti yang diikrarkan di dalam perakuan berkanun.

"Selain itu, kita juga sudah mengambil maklum balas daripada 40,000 orang awam yang tidak mahu pusat beli belah yang sudah beroperasi sejak 1973 itu dirobohkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 3:50 PM