Jika festival muzik cara santai diadakan di padang sering kita lihat dianjurkan di luar negara namun kini tema itu sudah menular di ibu negara. SHUHADA MANSOR tidak melepaskan peluang untuk sama-sama berkongsi masa berkualiti bersama warga ibu kota.

Bagi sesiapa yang pernah mengunjungi konsert atau festival santai dianjurkan di luar negara khususnya Eropah, pasti terbayangkan suasana pengunjung melepak santai di padang luas sambil melihat persembahan muzik percuma. Namun bagi sesiapa yang belum pernah mengalaminya sendiri, pasti tertanya-tanya bagaimana situasi festival sebegitu.

Menyedari hasrat itu, Festival Foodgasm dianjurkan di Taman Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail, hujung minggu lalu mengambil tempat selaku festival dengan tema santai yang julung kali diadakan seumpamanya.

Tak kisah berpanas

Pekerja swasta, Amira Muhaimin, 27, berkata walaupun cuaca agak panas tetapi ia bukan halangan untuk dia dan tiga lagi rakannya datang merasai sendiri pengalaman bersantai beramai-ramai dengan warga kota.

"Saya datang sekitar pukul dua petang dan cuaca panas terik tapi mujurlah keadaan lokasi agak redup kerana banyak pokok. Lokasinya memang menarik untuk pengunjung makan dan bersantai kerana diadakan di taman rekreasi.

"Festival seperti ini tak pernah diadakan lagi sebelum ini, jadi, walaupun cuaca panas ia berjaya tarik ramai pengunjung. Saya lihat bukan saja anak muda datang untuk tengok persembahan muzik percuma tapi ada juga ibu bapa bawa anak dan mak ayah rancakkan suasana," katanya.

Menurutnya, cuaca di Malaysia sememangnya digemari pelancong asing. Justeru katanya, selain warga tempatan, ramai pelancong asing turut dilihat duduk bersantai di kawasan lapang yang ada di situ.

Perlu perancangan rapi

Berbeza bagi pelajar, Mohd Qusyairi Amin Rozaini, 23, yang berpendapat penganjuran program berkenaan boleh dipertingkatkan lagi untuk keselesaan ­pengunjung.

Katanya, meskipun lebih 100 gerai makanan dan pakaian disediakan tetapi hanya satu gerai dibuka untuk jualan minuman. Dengan cuaca panas terik sedikit sebanyak membantutkan keseronokan bersantai kerana dia terpaksa berbaris lama untuk membeli minuman.

"Saya tak nafikan pelbagai jenis makanan daripada ala barat hinggalah tradisional dijual tapi kurangnya adalah gerai minuman. Kecewa apabila beratur lebih 30 minit untuk membeli air tapi apabila dah nak tiba giliran saya, stok minuman habis dan kena tunggu lagi setengah jam.

"Dengan cuaca panas terik, orang bersesak untuk beli makanan, saya tak tunggu lama terus balik dan minum di restoran mamak dekat kawasan itu. Bukannya apa, saya bangga apabila ada penganjuran acara seumpama ini sebab ia boleh kumpulkan warga kota bersama-sama tapi perlu ada perancangan rapi.

"Dalam 'flyers' tak dinyatakan suruh bawa minuman sendiri, cuma diingatkan bawa tikar, payung dan cermin mata hitam sebab konsepnya santai. Jadi pengunjung akan fikir apabila namanya festival makanan, gerai minuman banyak disediakan tapi malangnya hanya satu saja. Kasihan kepada kanak-kanak yang merengek haus kerana ibu bapa terlupa bawa minuman sendiri," katanya.

Masa berkualiti, hiburan percuma

Dianggarkan lebih 100 gerai makan dan pakaian disediakan untuk tarikan pengunjung. Konsep santai dimeriahkan lagi dengan lebih 10 kumpulan muzik tempatan mendendangkan lagu sepanjang festival berlangsung. Antaranya termasuk Diandra, Hani & Zue, Popkonspiracy, Nastia dan Dischord.

Bagi penulis, festival ini dianggap cukup berjaya kerana selain dalam fasa mencuba kerana pertama kali dianjurkan, ia berupaya menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang acara daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Bukan saja menarik minat anak muda supaya tidak membuang masa kosong pada hujung minggu dengan meletakkan mini konsert percuma tetapi ia juga berjaya menggamit golongan yang sudah bekeluarga untuk meluangkan masa berkualiti bersama.

Diharapkan, penganjuran festival seperti ini dapat diadakan lebih kerap kerana kita dapat lihat impak positif dalam masyarakat. Selain mengeratkan hubungan sesama sendiri, ia boleh dianggap aktiviti terbaik untuk warga kota yang dahagakan waktu santai disuntik dengan hiburan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 9:02 PM