FESTIVAL Lebuh Kopi Kajang yang diadakan di Jalan Sulaiman, baru-baru ini.
FESTIVAL Lebuh Kopi Kajang yang diadakan di Jalan Sulaiman, baru-baru ini.
PERTANDINGAN papan selaju turut diadakan.
PERTANDINGAN papan selaju turut diadakan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Ribuan penggemar kopi membanjiri Jalan Sulaiman, Kajang, Selangor sempena penganjuran Festival Lebuh Kopi Kajang, baru-baru ini.

Festival unik itu dianjurkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dengan kerjasama Tempatan Fest Studio.

Ia diadakan bagi meraikan sambutan 25 Tahun Jubli Perak majlis perbandaran berkenaan.

Program untuk seisi keluarga itu diadakan selama dua hari dan disertai lebih 30 pengusaha kopi serta pastri terkenal yang menjadi kegemaran golongan muda hari ini.

Pengunjung bukan sahaja dapat mencuba sendiri keenakan pelbagai jenis minuman kopi dan pastri yang dijual, malah turut berpeluang berbelanja di gerai jualan yang disediakan.

NAJMUDDIN (kiri) turut turun padang memeriahkan Festival Lebuh Kopi Kajang.
NAJMUDDIN (kiri) turut turun padang memeriahkan Festival Lebuh Kopi Kajang.

Selain itu, pengunjung juga dihiburkan dengan pelbagai aktiviti kesenian yang turut disediakan sempena sambutan Hari Belia menerusi program Kanvas Belia MPKJ.

Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain turut meluangkan masa memeriahkan acara perasmian festival berkenaan.

Bagi Syahmi Mumtaz, 25, acara berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu penggemar kopi sepertinya.

Katanya, dia sanggup menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari Damansara bersama rakannya bagi merasai sendiri keseronokan festival kopi itu.

PENGUNJUNG berpeluang melihat sendiri bagaimana minuman kopi enak disediakan.
PENGUNJUNG berpeluang melihat sendiri bagaimana minuman kopi enak disediakan.

"Acara seperti ini unik kerana ia memberi peluang kepada orang ramai mengenali pelbagai jenis minuman kopi dan cara pembuatannya.

"Kami tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai jenis minuman kopi dan pastri yang dijual di gerai jualan, semua enak serta menepati selera.

"Suasana juga meriah dengan hiburan secara 'live' yang dipersembahkan kumpulan busking, pendek kata festival ini meriah," katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya pertunjukan dan pertandingan grafiti serta mural, pertandingan papan selaju, pertandingan BMX, pameran 'custom bike' dan banyak lagi.

MERIAH dengan pengunjung dari sekitar Lembah Klang membanjiri Lebuh Kopi Kajang.
MERIAH dengan pengunjung dari sekitar Lembah Klang membanjiri Lebuh Kopi Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:50 AM