Mayat dibawa ke Jeti PPM Kota Kinabalu sebelum ke HQE 1. FOTO ihsan polis
Mayat dibawa ke Jeti PPM Kota Kinabalu sebelum ke HQE 1. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Pelancong warga Korea ditemui lemas ketika menyertai aktiviti menyelam bersama keluarga di Pulau Memutik, dekat sini, hari ini.

Mayat Shim Jae Sun, 48, ditemui kakitangan skuba pada 3.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, mangsa dibawa ke Taman-Taman Sabah menggunakan bot pelancong seterusnya ke pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1).

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HQE 1 untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa bertolak dari Jeti Marina Tanjung Aru, di sini, bersama keluarga bagi mengikuti aktiviti menyelam di Pulau Memutik.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 11:36 PM