Syarifuddin Azman
Syarifuddin Azman
Ferzalfie Fauzi


PELUMBA muda negara yang berlumba di pentas Kejuaraan Moto2 Remaja Dunia CEV, Syarifuddin Azman mahu meneruskan aksi positif di Litar Jerez hujung bulan lalu.

Dia mahu prestasi membanggakan itu dapat bersambung di pusingan seterusnya di Litar Aragon, awal bulan depan.

Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai 'Damok' ketika ini menjalani latihan kecergasan bersama pelumba pasukan Sepang Racing Team dan Intact GP yang beraksi di pentas Kejuaraan Dunia.

Pendedahan awal ini secara tidak langsung mampu mempersiapkan dirinya menjelang pusingan akan datang.

Syarifuddin menamatkan ketiga-tiga perlumbaan yang berlangsung selama dua hari di Litar Jerez dengan berada dalam kelompok 15 terbaik untuk membolehkannya mengumpul 11 mata tambahan.

Dia yang mewakili Monlau Motorsport itu kini berada di tangga ke-14 keseluruhan dengan meraih 13 mata selepas empat pusingan musim.

"Saya sangat gembira kerana dapat mengumpul mata sebanyak mana yang termampu di Jerez. Insya Allah untuk perlumbaan akan datang saya akan melakukan yang lebih baik," kata pelumba berusia 19 tahun itu.

Pada hari pertama perlumbaan di Jerez, Syarifuddin menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan sebelum berada di tempat ke-13 pada Perlumbaan 1, keesokan harinya.

Dia bagaimanapun berasa kecewa kerana melakukan kesilapan pada Perlumbaan 2 selepas itu dan hanya menduduki tempat ke-15.

Keputusan diraihnya itu secara tidak langsung menunjukkan keserasian bersama jentera berbanding dua pusingan sebelum ini di Portugal yang menyaksikannya hanya mengumpul dua mata (penamat ke-14) di Litar Algarve.

"Tentunya saya gembira dan bersyukur dengan keputusan di Jerez ini. Saya harap dapat bersiap sedia untuk perlumbaan akan datang (di Aragon)," katanya yang juga muka baharu dalam kejuaraan ini.

Litar Aragon dijadual menjadi pusingan kelima dan keenam bagi musim 2020, masing-masing pada 3 dan 4 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 8:34 PM