TIMBALAN Ketua Bahagian Kubang Pasu, Zulfitri Yaacob (tengah) bersama peserta meneruskan larian ke Pokok Sena. FOTO Eizairi Shamsudin
TIMBALAN Ketua Bahagian Kubang Pasu, Zulfitri Yaacob (tengah) bersama peserta meneruskan larian ke Pokok Sena. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kodiang: Lebih 150 orang dari kawasan UMNO Bahagian Kubang Pasu dan Jerlun memeriahkan Larian Bendera sempena Ulang Tahun UMNO ke-71 yang berlangsung di sempadan Perlis-Kedah di sini, hari ini.

Larian bermula di pekan Kodiang kira-kira 4.30 petang apabila konvoi larian berkenaan tiba dari Arau, Perlis diketuai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau kemudian menyerahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Menteri Besar Kedah.

Larian yang turut diiringi oleh konvoi bermotosikal itu kemudian meneruskan larian mereka hingga ke Jitra sejauh 22 kiometer (km).

Ahmad Bashah berkata, larian di negeri Kedah akan merangkumi laluan di kawasan Parlimen seperti Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah, Jerai, Merbok, Sungai Petani sebelum diserahkan kepada wakil UMNO Pulau Pinang di sekitar kawasan sempadan Kedah-Pulau Pinang.

"Walaupun begitu, kita turut menerima penyertaan daripada kawasan Parlimen yang tidak dilalui konvoi larian ini seperti Langkawi, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Baling, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu.

"Keseluruhannya larian ini akan berada di negeri ini selama tiga hari sehingga lusa (4 Mei) di mana larian ini akan tiba di kawasan sempadan Kedah-Pulau Pinang dan saya sendiri akan menyerahkannya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang disana," katanya selepas melepaskan larian berkenaan di Pekan Kodiang di sini, hari ini.

Tambahnya, penyertaan larian ini dikelolakan oleh sayap Pemuda UMNO di setiap bahagian Parlimen yang terbabit.

"Larian ini kita serahkan kepada Pemuda dan Puteri UMNO termasuk ketua cawangan di bahagian Parlimenyang terbabit untuk mengendalikannya.

"Selain itu juga, saya melihat penyertaan pada larian ini sungguh memberangsangkan termasuk dari kawasan parlimen yang tidak dilalui oleh konvoi larian ini dengan semua memberikan komitmen yang terbaik bagi menjayakannya," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Exco Belia dan Sukan Kedah, Datuk Aminuddin Omar yang juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra dan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sharif yang juga ADUN Kota Siputeh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 11:32 PM