Huizen tidak mahu pasukan negara tercorot. FOTO BERNAMA
Huizen tidak mahu pasukan negara tercorot. FOTO BERNAMA
Azizan Hashim


Ipoh: Skuad hoki negara tidak mahu menduduki tangga tercorot di akhir pusingan awal kempen hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26.

Justeru itu, pasukan hoki negara perlu bangkit dalam baki tiga perlawanan bermula pertemuan dengan Britain esok untuk mencapai impian itu.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen berkata, suka atau tidak, Malaysian Tigers tiada pilihan melainkan mengutip mata dalam baki tiga perlawanan selepas kecundang 6-1 kepada juara bertahan, Australia semalam.

"Memang kekalahan mengecewakan namun kita kena terima hakikat kelebihan lawan yang merupakan pasukan kedua dunia.

"Saya berharap pemain lupakan apa yang berlaku dan kembali fokus pada perjuangan.

"Kita mempunyai tugas sukar dan berat kerana bertemu lawan yang berada di ranking lebih baik daripada kita," katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Mengenai kekalahan di tangan juara sembilan kali itu, Stephen berkata, beliau memang menjangkakan kekalahan namun bukan jurang gol sebanyak itu.

Katanya, sikap terlalu menghormati lawan menyebabkan pemain negara hilang keyakinan diri serta melakukan banyak kesilapan hingga dihukum lawan.

Menurutnya, pembatalan gol jaringan Malaysia di awal permainan juga memberi kesan terhadap pemain.

"Tidak jelas kenapa gol itu tidak dibenarkan. Apapun ia bukanlah alasan kuat kenapa kita kalah dengan jurang besar," katanya.

Bagi menghadapi Britain, malam esok, Stephen berkata belaiu akan melakukan bedah siasat untuk mengkaji kelemahan pasukan negara.

"Britain bukan calang-calang pasukan. Mereka punyai jentera serangan berbisa dan pertahanan mantap.

"Pemain perlu bermain dengan semangat juang kental dan penuh komitmen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 7:29 PM