Adnan Ibrahim


Kluang: Pasukan keselamatan memperketatkan kawalan di perairan timur Sabah dan sempadan negara susulan kematian pemimpin militan Abu Sayyaf paling dikehendaki, Al Habsi Misaya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu adalah penting bagi mengelak anggota militan berkenaan melarikan diri ke negara ini.

Katanya, ia berikutan tekanan serta operasi pasukan keselamatan Filipina yang semakin agresif mengesan saki-baki kumpulan militan berkenaan di Kepulauan Jolo.

"Kita mengesahkan bahawa satu daripada pengganas paling dikehendaki Malaysia, Al Habsi Misaya, mati terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan tentera laut Filipina Jumaat lalu di Jolo.

"Ini adalah hasil daripada tekanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Filipina yang akhir-akhir ini melakukan operasi secara besar-besaran di kawasan kepulaun berkenaan.

“Malaysia akan mengetatkan lagi kawalan di perairan dan sempadan negara bagi mengelakkan saki baki anggota militan yang semakin tertekan melarikan diri dan memasuki sempadan negara," katanya ketika sidang media selepas menutup Program Ziarah Kasih Sayang: Jururawat Pelatih Masuk Kampung di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Al Habsi dilaporkan terbunuh dalam pertempuran senjata dengan pasukan tentera laut Filipina, pada 9.30 malam Jumaat lalu.

Al Habsi adalah antara pengganas paling dikehendaki di negara ini dan satu daripada empat komander Abu Sayyaf.

Dia juga dikatakan mengarahkan aktiviti penculikan besar-besaran di Sabah dan sempadan laut selatan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 2:48 PM