SEBUAH rumah masyarakat Orang Asli yang 90 peratus siap.
SEBUAH rumah masyarakat Orang Asli yang 90 peratus siap.

"Saya gembira kerana sudah lama menunggu mendapatkan rumah seperti ini, sampai tidur pun bermimpi," kata Sofian ­Othman, 25, Orang Asli dari suku kaum Temuan.

Dengan pendapatan bulanan RM600, dia yang bekerja sebagai tukang kebun mengidamkan ­sebuah rumah lebih selesa di kediamannya di Kampung Hulu Tamu, Batang Kali, berhampiran Rawang.

Yang paling membimbangkan Sofian ialah keselamatan dan keselesaan anak perempuannya yang berusia empat tahun kerana lantai kayu rumah lamanya semakin uzur dan setiap kali anaknya melompat, lantai itu pasti bergegar.

"Isteri saya mahu tanam pokok bunga di sekeliling rumah. Saya pula akan uruskan perabot," katanya.

Sofian antara 10 penerima 'Rumah Epic' yang dibina di bawah projek CAREton, inisiatif kitar semula oleh Tetra Pak de­ngan rakan kongsinya, Milo dan syarikat, Epic Homes.

Pengarah Urusan Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, Brian May berkata, syarikat itu membuat keputusan mempromosikan budaya kitar semula selepas menyedari terdapat satu bilion pek minuman diminum setahun.

Pek minuman apabila diasingkan komponennya terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kertas (75 peratus), plastik (20 peratus) dan aluminium (5 peratus).

Sebaik karton itu tiba di kilang kitar semula, elemen kertas boleh diasingkan ­dari­pada plastik dan aluminium.

Komponen kertas kemudian akan dihantar ke kilang membuat kertas apabila ia akan digunakan untuk menghasilkan produk berasaskan kertas yang lain seperti kotak karton kadbod.

Di kilang, elemen plastik dan aluminium atau 'Poly-Al' ditukar menjadi genting bumbung untuk Rumah Epic.

"Ini tahun ketiga kami melaksanakan projek ini dan bercadang menambah rangkaian pusat pungutan barangan kitar semula kepada lebih 460 berbanding hanya 230 akhir tahun 2013," katanya.

Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak, Manju Murugesan berkata, berbanding bumbung zink biasa, bumbung Poly-Al lebih baik kerana ia lebih tahan air dan api.

Bumbung ini mempu­nyai ciri antikarat dan kerana bahan serta reka bentuk­nya selain memberi perlindungan daripada panas dan bunyi bising serta jaminan 10 tahun oleh pengeluar.

Setiap Rumah Epic memerlukan 46 keping genting bumbung dan setiap genting memerlukan 7,247 pek minuman kitar semula. Ini bermakna setiap Rumah Epic memerlukan sehingga 333,362 pek minuman kitar semula.

Sehingga November 2014, projek itu mengumpul 7.2 juta pek minuman, melebihi angka sasaran sebanyak lima juta pek, seperti yang dicapainya sejak program itu diperkenalkan pada 2012.

Dengan siapnya pembinaan rumah ke-10 tahun ini, CAREton meletak sasaran membina 20 rumah untuk masyarakat Orang Asli tahun depan.

Selama tiga hari, 30 suka­relawan bekerja dari pagi hingga petang dengan ha­nya waktu rehat makan te­ngah hari selama sejam untuk menyiapkan rumah Sofian.

Pengasas dan Ketua ­Pegawai Eksekutif syarikat keusahawanan sosial, Epic Homes, John-Son Oei ­ber­kata, kerjasama dengan Tetra Pak dan Milo, yang mewakili Nestle Malaysia, memberi manfaat kepada semua pihak.

"Membina rumah untuk Orang Asli adalah satu usaha yang banyak memberi kepuasan walaupun kos yang tinggi.

"Setiap rumah yang dibina menelan belanja sehingga RM40,000 dan kami bergantung kepada penaja," katanya.

Secara keseluruhannya, Rumah Epic mempunyai lebih 1,000 sukarelawan dan sejak empat tahun lalu, mereka membina 33 rumah di empat lokasi berbeza.

Sukarelawan, Ken Boon dan Wan Lismawatie Wan Ludin, kakitangan syarikat Nestle berkata, mereka mendaftar sebagai sukarelawan untuk membantu orang lain dan bersedia untuk bekerja keras selama tiga hari.

"Ini pengalaman pertama saya dalam projek ini dan berharap sumba­ngan kami membolehkan masyarakat Orang Asli hidup lebih selesa," katanya.

Layari www.recycle-easy.com.my atau www.tetrapak.com.my untuk mak­lumat lanjut.-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:00 AM