MILO mendorong rakyat ke arah kelestarian alam menerusi PROJEK MILO Sayang Bumi
MILO mendorong rakyat ke arah kelestarian alam menerusi PROJEK MILO Sayang Bumi
Suliati Asri

Milo mengorak langkah pertama ke arah kelestarian alam sekitar menerusi pelancaran Milo Sayang Bumi sebagai komitmen untuk menerapkan amalan dan inovasi produk serta proses yang mesra alam demi kebaikan bumi.

Berbekalkan sokongan rakyat Malaysia, Milo Sayang Bumi menyatupadukan inisiatif kelestarian alam yang bakal diterajui jenama itu bermula tahun ini, sekali gus menyumbang kepada aspirasi global Nestle untuk mencapai impak sifar terhadap alam sekitar dalam operasinya menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols berkata, di Malaysia pihaknya memacu usaha kelestarian alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif dan berazam untuk terus memimpin usaha industri ke arah masa hadapan yang lebih hijau.

"Kami berbangga kerana salah satu jenama terbesar kami, Milo kini menjadi teraju utama perjuangan kelestarian alam sekitar.

"Semoga Milo menjadi suara Nestle yang paling lantang di Malaysia untuk menerajui, menginspirasi dan mempengaruhi tindakan bersama untuk melangkah lebih jauh demi kelestarian alam, digerakkan atas platform Milo Sayang Bumi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Perniagaan Milo Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen pula berkata, Milo membekalkan tenaga berkhasiat kepada jutaan rakyat Malaysia setiap hari.

PROJEK CAREton, kempen kitar semula karton minuman terpakai oleh MILO:registered: UHT mengubah pek minuman kepada jubin bumbung serta papan panel ‘hijau’.
PROJEK CAREton, kempen kitar semula karton minuman terpakai oleh MILO:registered: UHT mengubah pek minuman kepada jubin bumbung serta papan panel ‘hijau’.

"Ini bermakna setiap hari, kami berupaya untuk menginspirasi jutaan rakyat Malaysia sebagai juara untuk bertindak demi kelestarian bumi.

"Bumi memerlukan juara untuk memperjuangkan matlamat yang lebih besar iaitu masa hadapan bumi yang lebih sihat dan lestari.

"Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat, kami ingin memainkan peranan dalam menyatukan juara terhadap komitmen kelestarian bumi menerusi Milo Sayang Bumi," katanya.

Milo Sayang Bumi menumpukan fokus ke atas tiga matlamat impak iaitu mengurangkan sisa plastik di tapak pelupusan dan saluran air, mengurangkan pengeluaran plastik serta menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Sehubungan itu, Milo melancarkan enam inisiatif iaitu pertama Projek CAREton, iaitu kempen kitar semula karton minuman terpakai oleh Milo UHT menerusi kerjasama dengan Tetra Pak sejak 2012 yang mengubah pek minuman kepada jubin bumbung dan papan panel 'hijau' bagi komuniti yang memerlukan.

Kedua, 100 peratus Straw Kertas di mana usaha pengenalan 100 peratus straw kertas untuk keseluruhan rangkaian Milo UHT pada tahun 2020 yang akan menjimatkan sehingga 200 juta straw plastik setiap tahun.

Ketiga adalah program Penebusan Milo yang juga usaha berterusan Milo untuk mengumpulkan kembali bungkusan Milo terpakai daripada pengguna bagi mengelakkan sisa plastik berakhir di tapak pelupusan serta saluran air, termasuk Milo Stik Pek X-Change yang dilancarkan baru-baru ini.

Keempat, Bungkusan Kertas untuk Rangkaian Milo Mixes. Ia adalah inisiatif Nestle Malaysia yang pertama seumpamanya akan menggantikan bungkusan luaran produk Milo Less Sugar dengan bungkusan kertas yang boleh dikitar semula.

Kelima ialah 100 peratus cawan kertas di mana peralihan kepada 100 peratus cawan kertas, lengkap dengan usaha mendidik murid-murid sekolah mengenai kepentingan pengasingan sisa.

Manakala inisiatif keenam pula adalah Van Milo dengan Panel Solar. Transformasi van Milo ikonik dengan panel solar yang menukarkan tenaga solar, sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui kepada tenaga elektrik untuk menggantikan penjana yang bergantung pada bahan api.

Setiap inisiatif ini akan dilengkapkan dengan usaha mendidik dan menggalakkan pengguna untuk menerapkan amalan positif, baik kecil mahupun besar, demi kelestarian alam sekitar.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Sedia Diminum Nestle (Malaysia) Berhad April Wong berkata, pihaknya memahami sebahagian perubahan itu akan membawa pengalaman baharu kepada pengguna dan mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

"Apa yang kita lakukan hari ini akan meninggalkan impak yang berkekalan pada masa hadapan.

"Oleh itu, inilah masanya untuk kita sama-sama mengorak langkah demi memelihara alam sekitar. Sekecil manapun langkah pertama, jika kita bersatu menggembleng tenaga demi kebaikan bersama, pastinya kita dapat mencetuskan perubahan yang bermakna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:12 AM