KAPAL perang serupa yang akan diberikan Korea Selatan kepada Filipina. - Agensi
KAPAL perang serupa yang akan diberikan Korea Selatan kepada Filipina. - Agensi

Manila: Korea Selatan akan menyerahkan kapal perang antikapal selam lama kepada Filipina dengan bayaran hanya AS$100 (RM435).

Kementerian Pertahanan Filipina berkata semalam, kapal selam kelas-Pohang itu akan membantu meningkatkan keupayaan meronda sempadan maritimnya yang luas.

Di luar Amerika Syarikat, Korea Selatan menjadi pembekal terbesar kelengkapan tentera Filipina.

Manila menerima 2 pesawat pejuang ringan FA-50 daripada Seoul Rabu lalu dan dua lagi akan diserahkan bulan depan, untuk menjadikan 12 semuanya dengan harga 18 bilion peso (RM1.6 bilion).

“Kami berharap menerima kapal perang itu tahun depan. Penyerahan itu akan dalam bentuk sumbangan. Kami akan bayar AS$100,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Arsenio Andolong.

Menurutnya, dia tidak pasti berapa banyak yang perlu dibelanjakan Filipina untuk membaiki kapal perang berkenaan.

“Ia mungkin kapal lama tetapi kapal itu sudah pasti meningkatkan keupayaan kami untuk meronda perairan Filipina,” katanya.

Dia juga berkata, Filipina mungkin akan menerima tiga lagi kapal serupa yang tidak lagi digunakan Seoul apabila Korea Selatan menggantikan kapal yang lebih baru dan laju. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 10:31 AM