Abdul Rahman bersalaman dengan peserta selepas merasmikan Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR 2.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.  FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Abdul Rahman bersalaman dengan peserta selepas merasmikan Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR 2.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Penentuan syarikat termasuk dimiliki syarikat bukan Bumiputera yang mendapat konsesi atau pembiayaan kerajaan untuk memperkenalkan polisi diversiti akan dibincangkan dalam Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR 2.0) selama tujuh hari bermula hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi menentukan sebahagian projek diberikan pengagihan khusus (carve-out) kepada Bumiputera dan agihan projek dibuat secara telus serta berasaskan merit menggunakan pendekatan 'carve-out and compete' yang sedia ada.

"Selain itu, syarikat ini juga boleh diminta mengemukakan pelan bagi meningkatkan bilangan Bumiputera dalam pengurusan kanan syarikat masing-masing, selari dengan polisi diversiti yang disebutkan.

"Saya melihat makmal ini mempunyai banyak isu untuk dibincangkan, bagi menangani isu modal insan, pekerjaan dan pendapatan, keusahawanan, ekuiti korporat dan pemilikan aset bukan kewangan, saya ingin mencadangkan ahli makmal untuk berbincang beberapa strategi dan pendekatan yang boleh diambil,"katanya ketika berucap pada majlis perasmian Makmal Sindikasi Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR 2.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Husni Salleh.

Ahmad Zahid berkata, bukan semua pendekatan memerlukan pembiayaan yang besar, kerana sebahagiannya mungkin memerlukan kerajaan untuk mengkaji semua dasar dan polisi sedia ada.

"Malah, saya berpendapat impaknya akan lebih besar sekiranya kita mengubahsuai beberapa polisi berbanding mengadakan program baharu.

"Melalui makmal ini, saya mahu kementerian turut melihat bagaimana cara memperluaskan lagi skop kementerian daripada bukan sahaja memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, tetapi turut meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam inisiatif kementerian berasaskan prinsip BETR2.0,"katanya.

Makmal ini dijangka disertai 500 peserta dari kementerian, agensi dibawah kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC); syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); Badan Bukan Kerajaan (NGO); usawahan, pihak berkuasa wilayah Ekonomi Koridor dan sektor swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 11:56 AM