Manama: Masalah yang sedang dihadapi McLaren semakin berat apabila Oliver Turvey (gambar)terlepas sebahagian besar sesi ujian di Bahrain gara-gara kebocoran enjin sambil Lewis Hamilton mencatat masa terpantas bersama Mercedes.

Ketika perlumbaan di Bahrain minggu lalu, pemandu McLaren Fernando Alonso mendakwa dia terpaksa berlumba dengan enjin yang gagal menghasilkan kuasa seperti diharapkan manakala rakan sepasukannya, Stoffel Vandoorne pula berdepan masalah kegagalan enjin yang menghalangnya berada di garisan permulaan yang dimenangi pemandu Ferrari Sebastian Vettel.

Apabila sesi ujian dilangsungkan di litar sama kelmarin, jurutera McLaren mengesan kebocoran air pada bahagian enjin dan ia berlaku ketika Turvey menamatkan pusingan pertama.

McLaren terpaksa membaik pulih jentera itu sepanjang hari dan mereka hanya berjaya melengkapkan 17 pusingan dengan dua catatan masa.

“Saya gembira apabila diberi peluang memandu di Bahrain. Bagaimanapun, kami berdepan saat mengecewakan apabila enjin kami bermasalah dan ia menjejaskan kami untuk mencatat masa yang baik,” kata Turvey yang sudah lama menunggu untuk menjadi pemandu ujian.

Sesi ujian itu akan diteruskan oleh Stoffel hari ini.

McLaren sudah menghasilkan casis yang lebih baik musim ini tetapi mereka tetap gagal membuktikan potensi selepas Honda gagal menyerahkan enjin yang boleh digunakan.

Sementara itu, Mercedes melengkapkan 97 pusingan dan Hamilton muncul pemandu terpantas kelmarin dengan catatan 1min 31.358s di depan Antonio Giovinazzi dari Ferrari yang mencatat 1min 31.984s serta Daniel Ricciardo yang memandu Red Bull (1m 32.349s).

“Cuaca hari ini agak panas dan berhabuk. Mujur kami berjaya menamatkan tugas masing-masing,” kata Hamilton yang dikalahkan Vettel hujung minggu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:15 AM