VETTEL (depan) dominasi perlumbaan dari awal.
VETTEL (depan) dominasi perlumbaan dari awal.
AFP

Manama: Sebastian Vettel mengatasi rakan sepasukan Ferrari Kimi Raikkonen apabila mencatat masa terpantas sesi latihan bebas ketiga dan terakhir menjelang Grand Prix Bahrain, hari ini.

Beraksi dalam cuaca panas semalam, juara empat kali itu menamatkan dominasi Mercedes di trek padang pasir dengan masa terpantas sepusingan satu minit 31.689 saat.

Catatan itu menyaksikannya 0.040 saat lebih pantas daripada pemandu Finland Raikkonen yang memburu kemenangan pertamanya di Sirkit Antarabangsa Bahrain yang menyaksikannya pernah tampil di podium tujuh kali.

Penguasaan Ferrari itu menolak dua pemandu Mercedes ke tempat ketiga dan keempat dengan Nico Rosberg dan penyandang juara Lewis Hamilton empat persepuluh ketinggalan daripada pendahulu.

Rosberg mencatat masa terpantas di depan Hamilton dalam kedua-dua sesi kelmarin, tetapi cuaca panas semalam menyaksikan Ferrari mengambil kesempatan daripada situasi itu.

Valtteri Bottas kelima terpantas untuk Williams, di depan pemandu Perancis Romain Grosjean yang begitu mengagumkan sekali lagi dalam kereta baru Haas yang diperkuatkan enjin Ferrari.

Selepas cuaca sejuk kelmarin, sesi latihan terakhir berlangsung di bawah langit biru, pancaran matahari dan suhu udara 26 darjah Celsius. Bagaimanapun, suhu trek di Sirkit Antarabangsa Bahrain dicatatkan pada 38 darjah Celsius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:04 AM