ANTONIO Conte (tengah). FOTO Reuters
ANTONIO Conte (tengah). FOTO Reuters
AFP

Manchester, England: “Enam final” menanti Chelsea dalam baki saingan Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-2 kepada Manchester United yang membuatkan peluang mereka merebut gelaran hanya tinggal 50 peratus, kata pengurusnya Antonio Conte.

Selepas gagal mendapatkan kembali kelebihan tujuh mata ke atas Tottenham Hostpur di tangga kedua, Chelsea kekal empat mata di depan berikutan kekalahan di Old Trafford.

Mereka masih berada di depan dan hanya akan menentang satu pasukan di tangga tujuh teratas iaitu Everton dalam baki enam perlawanan tetapi Conte membayangkan pasukannya tidak boleh lagi dianggap pilihan.

“Kami perlu berfikir kini ada enam final hingga ke hujung musim,” kata jurulatih kelahiran Itali itu yang kehilangan penjaga gol Thibaut Courtois berikutan kecederaan dan pertahanan Marcos Alonso yang dijangkiti virus.

“Saingan liga kini terbuka dan kami mempunyai kemungkinan 50 peratus untuk menjuarainya.”

Conte menerima hakikat pasukannya layak mengalami kekalahan dan berkata kegagalan itu berpunca daripada kesilapannya yang gagal memberi motivasi mencukupi buat pemainnya.

Namun apabila merujuk kepada masalah Chelsea musim lalu di bawah kendalian Jose Mourinho yang kini pengurus United, beliau menganggap misi pasukan memburu kejuaraan sebagai satu keajaiban.

“Saya lebih senang berjuang merebut gelaran daripada tidak berjuang dan terus bersikap tenang. Tekanan adalah sesuatu yang biasa dan kami bernasib baik kerana mengalami tekanan ini,” kata Conte.

Tindakan Mourinho meminta pemainnya mengawal Eden Hazard dan Pedro Rodriguez berjaya menghalang Chelsea, yang gagal membuat percubaan tepat dalam perlawanan liga buat kali pertama sejak 2007.

Ander Herrera, yang membayangi gerakan Hazard, membantu Marcus Rashford menjaringkan gol pertama United pada minit ketujuh dan meledak gol kedua skuad tuan rumah pada awal babak kedua.

Kemenangan itu melonjakkan United ke tangga kelima, empat mata di bawah Manchester City yang memegang tiket keempat dan terakhir Liga Juara-Juara dengan baki satu perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 8:37 AM