Kuala Nerus: Sistem mesin perakam waktu yang diperkenalkan hari ini adalah inisiatif gabungan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKBG).

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Zamzaini Zolkeffi, berkata pengenalan alat perakam waktu itu bagi mengatasi masalah kelewatan kehadiran murid ke sekolah.

Beliau berkata, sistem itu akan menjadi petunjuk prestasi murid sekolah dan pada masa sama melatih murid lebih berdisiplin dan menepati masa untuk ke sekolah.

“Kita ada menerima rungutan daripada pentadbiran sekolah berhubung kelewatan murid-murid ke sekolah. Oleh itu, bagi mengelakkan perkara ini beterusan dan menjadi bebanan kepada pihak sekolah, kita mengambil langkah awal seperti ini.

“Kos RM6,000 untuk melaksanakan sistem yang lebih efektif ini digunakan untuk murid tahun satu hingga enam,” katanya selepas Majlis Perasmian Penggunaan Mesin Perakam Waktu sekolah itu yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Sementara itu, Guru Besar SKKBG, Zam Zam Mohamad, berkata pihak sekolah menyasarkan kelewatan murid ke sekolah dapat dikurangkan kepada tiga peratus daripada 10 peratus sebelum ini selepas sistem itu diperkenalkan.

Katanya, walaupun masalah kelewatan murid-murid ke sekolah tidak serius, namun langkah awal membendung masalah kelewatan mereka ke sekolah perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan mereka dapat mengikuti aktiviti yang dijalankan pihak sekolah untuk mereka.

“Sesi persekolahan bermula 7.45 pagi sehingga 1.15 petang. Namun, pada 7.30 pagi, murid-murid perlu berada di sekolah untuk program bacaan yasin yang diadakan setiap pagi.

“Rekod kehadiran mereka kita akan bandingan setiap bulan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi murid untuk mencapai waktu kehadiran yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, sekolah berkenaan mempuyai 871 murid termasuk prasekolah dan 61 guru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 7:22 PM